Make your own free website on Tripod.com

Isu Dalam Negeri

 

Cerai SMS

Kenyataan Dari Akhbar

Pendapat Imam Nawawi

Analisis Kami

 

ISU CERAI SMS 

Pada 24 April lalu warga kota dikejutkan dengan isu cerai SMS, iaitu lafaz cerai atau taklik dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi telefon bimbit. Ianya hanya sebuah pesanan ringkas tapi membawa natijah yang baru dalam kehidupan berumahtangga. Isu ini menjadi semakin hangat apabila adanya campurtangan dari Dato Seri Dr Mahathir Muhamad dan juga menteri Pembangunan wanita, Dato’ Shahrizat Haji Jalil. Isu ini sebenarnya tidaklah sekronik mana, tetapi medialah yang memainkan peranan mewarwarkan seolah-olah isu ini merupakan isu penting untuk didiskuskan di kedai-kedai kopi, tak kira di kafe berinternet atau kedai kopi Pak Ali. Kebanyakan tukang cerita-ceriti ini berbicara hingga melangkaui batas hukum syarak.

Bermula alkisah, apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini mengesah dan mensabitkan perceraian satu pasangan suami isteri yang dilafazkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pada April lalu. SMS yang dihantar oleh Shamsudin Latif kepada bekas isterinya, Azida Fazlina Abdul Latif tertera: ``Kalau engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga''. Pada masa lafaz itu dihantar pada pukul 10.04 pagi 18 April lalu, Azida berada di rumah keluarganya dan dia hanya membacanya pada pukul 8 malam apabila telefon bimbitnya dipasang. Hakim Syarie Mohamad Fauzi Ismail semasa membuat keputusan berkata, lafaz taklik cerai itu sah dan sabit serta gugur talak tiga terhadap Azida.  (Utusan Malaysia, Muka Depan 25.8.2003)Pada prosiding 9 Julai lalu, Azida yang bertindak sebagai plaintif memberitahu mahkamah bahawa dia pasti SMS itu dihantar oleh suaminya (ketika itu). Shamsudin yang dinamakan sebagai defendan ketika ditanya oleh mahkamah, memperakukan keterangan yang diberikan oleh Azida.(UM 25.8.2003)

 

Berasakan sumber berita lebih kurang dari surat khabar ini maka lahirlah berbagai spekulasi berkenaan dengan Cerai SMS ada yang PRO dan KONTRA. Ada yang melampau-lampau membangkang cerai SMS dan merasakan seolah-olah ia penghinaan kepada Wanita, tidak terkecuali Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Shahrizat Hj Jalil, Sisters in Islam, beberapa pertubuhan NGO wanita yang kurang dikenali. Isu hukum syarak tidak ditonjolkan berkenaan dengan cerai SMS, yang ditonjolkan ialah isu ‘menghina wanita’, mereka bersikap anti-kepada Keputusan Mahkamah Syariah itu. Ada satu tulisan menarik dari sebuah rencana dalam Utusan Malaysia yang betul-betul mempertikaikan tidakan Hakim Syarei. Seolah-olah Hakim Syarei tersebut tidak teliti, yang amat menggelikan hati, rencana tersebut cuba mengajar pihak tertentu bagaimana untuk mengesahkan SMS itu ditulis oleh suaminya dan sebagainya.

 

Tidak kurang juga yang betul-betul mempermainkan isu ini, ada yang membuat andaian kalau seseorang itu poligami, tiba-tiba isteri pertama cemburu hantar SMS meceraikan isteri kedua dengan talak tiga sekali gus, habislah sang suami. Itulah beberapa kedangkalan pihak yang kononnya mereka berfikiran kritis tetapi sebenarnya masih dangkal dalam mengkaji idea ini secara menyeluruh, bahkan mereka mungkin tidak merujukpun kepada written decision, mungkin mereka ini hanya merujuk kepada laporan Akhbar dan Media massa yang agak terhad laporannya dan mengarah kepada memenagkan pendapat pihak tertentu.

 

Sila lihat pandangan Imam Nawawi berkenaan dengan isu cerai bertulis ini

==========================================================

 

Kemudian bermulalah isu mempertikaikan kewibawaan Hakim Syarei Mahkamah Gombak Timur bermula apabila Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat akan meminta Jabatan Agama Islam memberi penjelasan lanjut mengenai kedudukan perceraian melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.Menterinya, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman berkata, beliau ingin mengetahui kedudukan sebenar mengenai fatwa atau perkara-perkara yang membolehkan perceraian dengan cara itu disahkan. (Berita Dalam Negeri UM 26.7.2003) Ujar belaiu “``Saya ingin mendapatkan maklumat mengenai perkara tersebut dan tidak akan mengeluarkan kenyataan mengenainya, sehingga mendapat penjelasan sepenuhnya,''``Soal yang menjadi pokok sekarang ialah institusi kekeluargaan yang harus sentiasa dilindungi dari menghadapi masalah perpecahan.``Perpecahan boleh mengakibatkan beberapa masalah lain. Jangan tambah masalah,'' katanya. Kata beliau, ahli keluarga mesti bertanggungjawab terhadap keluarga masing-masing dan tidak boleh membiarkan masalah itu diselesaikan secara berasingan atau mengambil pendekatan sambil lewa.Beliau menambah, jika menghadapi masalah dalam keluarga, perkara itu perlu dirujuk kepada pihak tertentu yang mahir.

 

Para mufti dan ahli agama berpendapat walaupun lafaz perceraian melalui alat telekomunikasi moden termasuk e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS) dibolehkan dalam Islam tetapi ia tidak digalakkan bagi mengelakkan kekeliruan. Mereka turut meminta umat Islam supaya menggunakan kaedah lebih terhormat apabila melafazkan cerai terhadap isteri kerana agama Islam sendiri membenci perceraian. Mufti Kedah, Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim berkata, Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada menggunakan kemudahan teknologi semasa termasuk dalam berkomunikasi dengan seseorang.

 

``Bukan sahaja SMS, kalau guna Internet juga boleh kerana yang penting ialah maklumat itu mesti sampai kepada si isteri,'' katanya kepada Utusan Malaysia. Beliau juga menambah ``Lafaz melalui SMS dinamakan sebagai lafaz kinayah (tidak terus terang) sementara lafaz ucap (bersemuka) pula dipanggil sebagai lafaz soreh (terus terang”. Jelas beliau, perbezaan antara kedua-dua lafaz tersebut ialah lafaz talak kinayah hanya sah jika diikuti dengan niat manakala lafaz talak soreh cukup menerusi kata-kata sahaja. (Dalam Negeri UM 26.7.2003)

 

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian adalah perkara baik tetapi ia tidak harus disalahgunakan terutama bagi perkara yang membabitkan hukum agama.``Jangan gunakan sewenang-wenangnya e-mel, Internet atau SMS walaupun latar belakang mereka yang menghantar pesanan boleh disiasat untuk mengesahkannya,'' katanya. Menurut beliau, meskipun menyampaikan sesuatu seperti talak melalui SMS perlu disahkan oleh mahkamah, ia dibimbangi akan menimbulkan masalah lain. (UM 26.7.2003)

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemajuan teknologi tidak sepatutnya disalah guna termasuk bercerai melalui SMS telefon bimbit.Beliau yang kesal dengan kejadian menimpa sepasang suami isteri terbabit berkata, walaupun dibolehkan oleh syarak namun ia tidak sepatutnya diamalkan.

``Saya tidak sokong benda ini. Sepatutnya kalau hendak bercerai kena bersemuka bukan SMS,Mereka (pasangan terbabit) gunakan teknologi ini untuk bersemuka atau berbual, dan dari situ mungkin timbul perasaan kasihan dan tidak jadi bercerai. Inilah kemajuan dalam bidang telekomunikasi,'' katanya. (Muka depan UM 30.7.2003)

 

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata mesyuarat mingguan Kabinet hari ini berpandangan bahawa perceraian pasangan Islam tidak sepatutnya dilakukan dengan lafaz cerai melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS). "Kabinet memutuskan yang sementara mereka mungkin betul daripada sudut lain, ia bukan cara untuk bercerai," katanya semasa mengulas mengenai keputusan Kabinet terhadap perkara itu. (Muka Depan UM 31.7.2003)

 

ORANG KG.SABAK. al_sabaki@yahoo.com. Dalam Ruangan Forum UM 30.7.2003; Yang secara ringkas tidak setuju dengan dakwaan penceraian melalui SMS adalah sesuatu hal menghina wantina, dengan berhujahkan bahawa lelaki yang menggunakan sms perlu menfailkan kesnya ke Mahkamah , ini menunjukkan bahawa wanita diberi hak. Dengan sinis beliau menyelar orang mengatakan cerai sms bersifat jalanan, dalam masa yang sama mengiktiraf cinta jalanan dengan sms.

 

Dato’ Sharizat Abdul Jalil ``Kementerian saya tidak bersetuju dengan budaya tersebut. Ia merupakan satu penghinaan kepada wanita dan membawa imej yang negatif kepada Islam.Kita mintalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin mengambil kira perkembangan terbaru ini agar SMS tidak menjadi alat untuk wanita diceraikan.'' (Muka depan UM 30.7.2003)

Awang Selamat (UM30.7) setuju 100% dengan Dato’ Sharizat, si awang ini setuju talak jatuh tapi inginkan kerajaan membuat peraturan mencegah cerrai SMS Manakala dalam tajuk Pinda Undang-undang Keluarga Islam jika lemah (Muka depan UM 31.7)  Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga akan mengesyorkan supaya Undang-undang Keluarga Islam dipinda jika terbukti wujud kelemahan sehingga membolehkan lafaz cerai melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dibuat sewenang-wenangnya. Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Kabinet memandang berat perkara itu dan sependapat dengan kementerian bahawa perceraian melalui cara tersebut tidak selaras dengan semangat Syariah. Tegasnya, ia tidak harus dilihat sebagai penghinaan ke atas wanita sahaja, sebaliknya boleh mencemarkan imej agama suci itu dan menjatuhkan maruah lelaki Islam di negara ini.

``Kita akan syor pinda undang-undang kalau jelas dan nyata ada kelonggaran di dalamnya yang menyebabkan perceraian melalui SMS berlaku di negara ini. ``Bukan setakat menerusi SMS bahkan melalui e-mel pun kerana dianggap telah menyalahgunakan teknologi yang ada,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pasca Kabinet bagi kementeriannya di sini hari ini. Kabinet hari ini membincangkan isu lafaz cerai melalui SMS ekoran timbul kontroversi sama ada cara itu beradab atau tidak dan apakah ia satu penghinaan kepada wanita serta kesannya kepada imej Islam.

 

 

(Forum UM 31.7.2003 Pro and kontra cerai SMS)

SAYANG ISTERI, Bayan Lepas, roslany2k@yahoo.com  memberi komen cerai sms bukannya menghina wanita tapi menghina lelaki bahkan menganggap lelaki itu bacul, pada pendapat beliau cerai sms, e-mail dsbnya sepatutnya untuk kes pasangan yang jauh jaraknya.

JURUTERA TELEKOMMUNIKASI – berkomentar cerai sms tak salah, Cuma kadi mesti peka dengan situasi, contoh yang diberikan kes Mahkamah Gombak Timur sepatutnya taklik itu bersyarat masa, bila dan jelas.

FATIN-03, Batu Caves, Kuala Lumpur – memberi komen penulisan Orang Sabak (30.7.2003) adalah berunsurkan kegoan, beliau berkomentar lagi penceraian sms tidak beradab kerana semasa berkahwin sanggup menghabiskan duit yang banyak dan semasa cerai main sms, RM0.30. Belaiu memberi komentar pendapat Hakim Syarei tiu tidak jelas hanya berasaskan kenyataan sms yang pendek.

SULAIMAN M IBRAHIM, Ipoh. Mengulas isu penceraian sms oleh Kadi Mahkamah Gombak Timur sebagai high watermark , beliau meminta kita melihat kes Aida Melly yang disahkan jatuh talaknya.

 

UM kelaur tajuk Cerai SMS - Lelaki tidak gentleman (Keluarga UM 4.08.2003)

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin berkata bahawa Lafaz cerai melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) tidak sah sehingga diperakukan oleh Mahkamah Syariah di negara ini. Menurut beliau, jika seseorang suami menghantar SMS menyatakan cerai kepada isteri, talak tidak jatuh kerana ia tertakluk kepada hukum bahawa mengikut undang-undang Islam di negara ini ia perlu dibawa ke mahkamah untuk disahkan.

``Situasi itu dianggap sebagai cuba untuk bercerai dan ia tidak sah sehingga diperakukan oleh Mahkamah Syariah mengikut Undang-Undang Keluarga Islam 1984,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat pasca-Kabinet di pejabatnya di sini hari ini sebagai mengulas mengenai senario baru perceraian menggunakan SMS. Abdul Hamid menjelaskan, merujuk kepada lafaz cerai melalui SMS yang dihantar oleh Shamsudin Latif kepada bekas isterinya, Azida Fazlina Abdul Latif pada 18 April lalu dan disabitkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 24 Julai lepas, beliau berkata:

``Lafaz cerai itu tidak sah dan mereka masih suami isteri yang sah dalam tempoh mula SMS itu dihantar sehingga mahkamah sahkan perceraian itu (pada 24 Julai lalu)''.

Katanya lagi, talak yang dilafaz oleh suami termasuk menggunakan e-mel, faksimile dan surat juga dikategorikan sebagai `cuba' melakukan perceraian di luar mahkamah atau tanpa kebenaran dan ia bertentangan dengan undang-undang Islam di negara ini.

Menurutnya, undang-undang itu diwujudkan mengikut kaedah fiqah iaitu sesuatu tindakan imam (pemimpin) ke atas rakyat bergantung kepada kepentingan umum.

``Ia adalah untuk memastikan si suami tidak melafazkan talak dengan sesuka hati yang boleh menganiaya isteri. Oleh itu, mengikut Seksyen 124 undang-undang berkenaan, sesuatu perceraian di luar mahkamah atau tanpa kebenaran mahkamah akan dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.Jadi, jika suami cuba melakukan perceraian menggunakan SMS, maka tidak jatuh talak. Bukan SMS yang `berkuasa' menceraikan pasangan suami isteri tetapi mahkamah,'' katanya.

Abdul Hamid berkata, undang-undang keluarga Islam di negara ini tidak membenarkan suami melafazkan talak dengan sesuka hati bertujuan untuk memelihara kehormatan kaum wanita. Selain itu ujarnya, ia bagi memastikan proses perceraian berlaku dalam suasana harmoni, sekalipun ia dibenarkan oleh Islam.

``Oleh yang demikian, Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ditugaskan mengkaji semula peraturan berkaitan.

``Mungkin denda boleh dinaikkan kepada penjara tiga tahun atau denda sebanyak RM5,000, ini semua akan dirujuk semula,'' ujarnya. (Muka depan UM 31.07.2003)

 

 

Mohd Shauki Abdul Majid, Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). (Rencana UM 2.8.2003)Melafaz talak melalui SMS tidak seharusnya berlaku kerana ikatan perkahwinan dalam Islam jauh dari sikap emosional. Seorang Muslim sejati seharusnya memiliki kesopanan, budi, kesabaran dan kekuatan diri dalam menangani persoalan ini. Seseorang itu mungkin tidak menyukai sesuatu dan cuba untuk menjauhinya padahal dari segi kenyataannya ia mengandungi banyak kebaikan dan rahmat.

Bergaullah dengan isteri kamu menurut yang sepatutnya. Kalau kamu benci kepada mereka (hendaklah kamu bersabar), kerana boleh jadi kamu benci pada sesuatu sedang Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya. (Surah an-Nisa ayat 19)

Peraturan yang membabitkan perceraian di luar mahkamah mungkin diperketatkan termasuklah cadangan memperkenalkan hukuman penjara mandatori kepada suami yang melafazkan cerai melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telefon bimbit. Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, ini disebabkan hukuman yang ada sekarang gagal menghalang perkara tersebut walaupun ia sebenarnya sudah cukup tegas.

``Bagaimanapun, walau setegas mana undang-undang sekalipun ia bukanlah satu jaminan bahawa masalah berkenaan dapat diatasi kerana yang paling penting adalah kesedaran di dalam diri para suami.`Suami hendaklah ingat bahawa mereka mesti menggunakan cara yang lebih beradab dan bertanggungjawab walaupun lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah, ia tetap jatuh dari segi syarak,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini. (Muka depan UM 3.08.2003)

 

Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) berpendapat cadangan memperkenalkan hukuman penjara mandatori ke atas suami yang melafazkan cerai melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telefon bimbit mampu mengatasi masalah perceraian melalui SMS daripada berleluasa.Yang Dipertua NCWO, Profesor Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, hukuman berkenaan akan menjadikan golongan suami lebih berhati-hati dan membendung perbuatan melafazkan cerai dengan sewenang-wenangnya melalui perkhidmatan SMS. ``Hukuman penjara adalah lebih berat dan serius berbanding dengan hukuman mengenakan denda. ``Oleh itu saya percaya hukuman penjara mandatori adalah berkesan'', katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.Pengerusi Perkhidmatan Hotline MCA, Tai Sim Yew dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, masalah lafaz cerai melalui SMS harus dibendung demi memelihara kesucian dan kehormatan institusi kekeluargaan dan perkahwinan.

``Selain itu perbuatan tersebut juga adalah satu bentuk diskriminasi, prejudis dan penghinaan kepada maruah dan martabat kaum wanita di negara ini,'' tambah beliau.

(Muka Depan UM 4.8.2003).

 

 

 

Isu ini benar-benar mengajak pelbagai pihak terdiri daripada orang ramai, ulama dan terutamanya golongan wanita melihat perkembangan kurang sihat ini. Kebanyakan mereka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap cara talak itu `dilafazkan'.

Bahkan, lafaz cerai melalui SMS disifatkan sebagai menghina kaum isteri selain dilihat sebagai diskriminasi terhadap wanita. Pertubuhan Sisters In Islam (SIS) melalui Pegawai Penyelidiknya, Nik Noriani Nik Badlishah berkata, lafaz cerai menerusi SMS menunjukkan si suami tidak mempunyai adab ihsan di dalam diri.

``SIS begitu terkejut kerana Majlis Agama Islam membenarkan perkara tersebut tanpa adanya tatatertib atau ihsan di dalam perkara tersebut. Seorang pekerja pun tidak boleh dibuang kerja melalui SMS, inikan pula perceraian yang merupakan satu pekara besar yang melibatkan rumah tangga,'' katanya.

Katanya, walaupun perceraian memang merupakan hak suami tetapi selalunya pihak isterilah yang akan menanggung segala proses perundangan dan sebagainya.

``Proses perceraian selalunya akan berakhir dalam jangka masa yang lama dan menelan kos yang mahal,'' katanya. SIS katanya, tidak menduga Majlis Agama Islam sudah bersedia untuk menggunakan alatan moden bagi tujuan lafaz cerai yang sudah tentu memberi banyak kelebihan kepada pihak suami.

Dalam pada itu, Exco Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Faridah Khalid berkata, perceraian menerusi SMS merupakan satu penghinaan kepada institusi perkahwinan itu sendiri. Tambahan pula katanya, implikasi terhadap isteri dan keluarga adalah besar akibat perceraian dengan cara demikian.

``Kita tidak tahu sama ada SMS tersebut dilakukan dengan tujuan penganiayaan oleh pihak yang sakit hati dengan pasangan tersebut.

``Ini sudah tentu akan menghuruharakan sesebuah rumah tangga,'' katanya. Baginya, ikatan perkahwinan adalah sesuatu yang suci, namun dilihat untuk meleraikannya sebagai paling mudah dan terlalu singkat.

``Untuk bercerai bukanlah satu yang mudah. Suami perlu mempertimbangkan banyak perkara sebelum membuat perisytiharan perceraian ke atas isterinya. Bukan hanya setakat menggunakan SMS sahaja,'' katanya.

Sementara itu Pengerusi Wanita Ikram, Maryam Abdul berkata, perceraian menggunakan SMS adalah terlalu mudah, terutamanya bagi suami yang sudah `hilang pertimbangan'.

Katanya, jangan salah menggunakan teknologi canggih untuk membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan makhluk Tuhan yang lain.

``Jika perlu bercerai, pergi ke mahkamah untuk kemukakan perceraian. Adalah tidak adil dan satu diskriminasi terhadap wanita sekiranya saluran ini tetap digunakan,'' katanya. Katanya, SMS tidak boleh dijadikan satu medium untuk perceraian dan kaum lelaki perlu dididik mengenai hal itu.

Presiden Pekerja Wanita Malaysia (Perwanis), Silam Hassan berkata, sekiranya perkara itu menjadi amalan, beliau khuatir lafaz cerai menerusi SMS akan menjadi satu polisi Undang-Undang Keluarga Islam pada masa akan datang. Jika ini berlaku katanya, ia merupakan satu penganiayaan, penghinaan dan diskriminasi terhadap golongan isteri dan wanita.

``Banyak kes yang melibatkan tuntutan perceraian daripada isteri akan mengambil masa berbulan-bulan malahan bertahun sedangkan suami dengan hanya satu petikan butang boleh melafazkan perceraian,'' katanya. Beliau yang turut sedih dengan fenomena tersebut berkata, suami yang bertanggungjawab sepatutnya menghargai isteri mereka dan tidak melakukan perkara sewenang-wenangnya apabila sudah tidak suka.

Perceraian menggunakan SMS katanya, akan merendahkan kedudukan wanita, perkara ini akan mengakibatkan imej agama Islam dipandang negatif.

``Kalau sesuatu perceraian perlu dilakukan, ia hendaklah dilakukan dengan penuh berhemah dan beradab. Wanita mempunyai maruah yang tinggi. Bukannya apabila dihargai diambil, bila dibenci, dibuang begitu sahaja bagai sampah tidak berguna,'' katanya.

 

( Keluarga UM 3.8.2003 Jangan hina isteri)

 

Pengakuan dari ibu beranak satu Harniza:

Suami saya beranggapan cerai itu (kami) tidak sah (apabila kabinet turut membincangkan kes perceraian SMS pasangan di Gombak). Saya harap isu ini diperjelaskan supaya kaum lelaki yang mungkin gila talak tidak mempermainkan soal penceraian ini,'' katanya. Harniza cuma mahu menuntut nafkah untuk anak lelakinya, tetapi suaminya berdolak-dalik dan mahu Harniza bercakap dengan peguamnya. Harniza berharap kesnya ini mendapat bantuan terutama pandangan di kalangan ulama.

``SMS ini sama seperti lelaki yang mudah menceraikan isteri. Short and Easy but no responsibility (ringkas dan mudah, tetapi tidak bertanggungjawab,'' katanya (Dalam Negeri UM 5.8.2003) KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kaum wanita di negara ini yang pernah diceraikan suami melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) boleh membuat pengaduan kepada Unit Kaunseling Jabatan Pembangunan Wanita dan Keluarga di Kementerian tersebut untuk diselesaikan. (UM 6.8.2003)

 

 

Komentar Salleh Buang (Rencana UM 6.08.2003)

Merujuk kepada kes yang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur minggu lalu itu, saya kira laporan akhbar tempatan ada sedikit mengelirukan (atau kurang tepat), dan sebab itu ia telah disalah tafsir oleh sebahagian masyarakat setempat.

Tanggapan yang timbul dari laporan akhbar mengenai kes itu ialah seolah-olahnya suami telah melafazkan talak terhadap isterinya menerusi SMS.

Andaian seperti itu sebenarnya adalah tidak betul. Kalau kita baca dengan teliti fakta kes itu, sebenarnya mesej ringkas yang dihantar secara elektronik oleh lelaki itu kepada isterinya pada 18 April lalu itu adalah lafaz taklik, bukan lafaz talak.

Dalam keterangannya di mahkamah, Azida Fazlina menyatakan bahawa dia ada menerima dan membaca mesej itu yang berbunyi seperti berikut ``Kalau engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga''. Suami Azida pula, dalam keterangannya di mahkamah, mengakui bahawa dia ada menghantar mesej itu kepada isterinya.

Berlandaskan peruntukan undang-undang berhubung keterangan, seperti yang terkandung dalam Enakmen Keterangan Syariah yang sudah lama berkuat kuasa di mahkamah syariah, apabila setiap pihak dalam sesuatu kes itu telah berikrar di hadapan mahkamah semasa prosiding berjalan (iaitu mengakui apa yang berlaku itu adalah perbuatannya dengan sengaja dan rela hati), maka mahkamah tidak perlu melihat kepada keterangan-keterangan lain.

Kes akan hanya menjadi rumit sekiranya (sebagai misalan) si suami menafikan ada menghantar SMS itu atau si isteri menafikan ada menerima dan mengetahui kandungan SMS itu.

Kesimpulannya dalam kes yang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur itu, disebabkan hakim bicara dalam kes itu telah mendengar ikrar kedua-dua pihak (suami dan isteri) tentang penghantaran (oleh suami) dan penerimaan (oleh isteri) lafaz taklik menerusi SMS itu, dan syarat atau perkara yang disebutkan dalam taklik itu benar-benar telah berlaku, hakim bicara tidak ada pilihan lain lalu mensabitkan perceraian telah berlaku. Dengan lain perkataan, dalam kes Azida dan suaminya ini, ikatan perkahwinan mereka bubar disebabkan mahkamah terima ikrar kedua-dua pihak sebagai bukti lalu mengesahkan perceraian berlaku disebabkan lafaz taklik suami kepada isterinya.

Kes itu bukan kes seorang suami menggugurkan (melafazkan) talak terhadap isterinya menerusi SMS, lalu mahkamah terus memutuskan perceraian telah berlaku tanpa usul periksa lagi.Saya harap tidak akan ada mana-mana pihak, walau bagaimana baik sekalipun motif mereka, mempertikai atau mempersoal keputusan Mahkamah Syariah Gombak Timur itu.

 

 

Cerai SMS di negara lain

Berhubung penggunaan SMS bagi lafaz cerai, Singapura pada Julai tahun lalu telah meluluskan fatwa lafaz cerai seseorang suami kepada isterinya yang dilakukan menerusi SMS telefon bimbit sebagai sah dan boleh dilakukan menerusi perkhidmatan tersebut.

Pendaftar Mahkamah Syariah republik itu, Shaiffuddin Saruwan berkata, lafaz cerai menerusi SMS adalah sama kesannya seperti lafaz cerai melalui sepucuk surat.

Bagaimanapun suami berkenaan perlu hadir di Mahkamah Syariah untuk mengesahkan perceraian tersebut. Menurut Shaiffuddin, mahkamah perlu meneliti setiap kes cerai sebelum memberikan kata putus.

``Lafaz cerai adalah memadai dengan dilakukan melalui SMS dan syarat bagi membolehkan lafaz itu sah adalah pengirim SMS adalah suami, kenyataan lafaz cerai itu adalah jelas dan semasa menghantar SMS, si suami berniat menceraikan isterinya,'' katanya. Beliau ketika itu mengulas kenyataan Penasihat Unit Kaunseling Kekeluargaan Mahkamah Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Abdel Salam Mohammad sebagai berkata, lafaz perceraian boleh dibuat menerusi SMS. (UM25.7.2003)

 

 

 

(Tahqiq : Cerai SMS mengikut Imam Nawawi)

Talaq melalui SMS menurut al-Syafi'iyah adalah talaq kinayah, bukan talaq sharih. Talaq kinayah begini memerlukan niat. Berikut ini pandangan dari al-Imam al-Nawawi dalam text Arabnya: 


ولو كتب ناطق طلاقا ولم ينوه فلغو وإن نواه فالأظهر وقوعه



Ertinya: Jika seorang suami yang boleh bercakap menulis menjatuhkan talaq dan tidak berniat, maka talaqnya itu sia-sia. Jika dia berniat menjatuhkan talaq, maka menurut pendapat yang azhar/yang terkuat, jatuh talaqnya. (al-Minhaj)

 (Rujuk Imam Nawawi, Minhaj al-Tholibin, hal 106)

 

 

ANALISIS KAMI

 

Apakah Hukum cerai pakai SMS, jawapannya sah

Kalau ditanya "Kalau orang lain menulis SMS macam mana?, contoh kawan bergurau dengan SMS kepada isteri kita, nanti akan berlaku salah faham, nanti ianya akan berlaku kucar-kacir."

 

Jawapan kami, " Kita kena bezakan istilah cerai sms dengan cerai biasa, cerai sms kita kena pastikan bahawa si suami kita yang menulis, dan ditanya apakah dia berniat demikian? Isu kawan tulis sepatutnya tidak menjadi isu, kerana apa hak kawan kita nak menceraikan isteri kita? Bila pula Islam benarkan isteri kita dipoligami. Begitu juga dengan persoalan isteri kita yang lain menceraikan isteri yang lain dengan SMS itu merupakan isu yang sengaja ditokok tambah oleh pemimpin wanita yang berfahaman ala-muktazilah, yang menilai baik dan buruk pakai akal sahaja, adakah isteri kita yang lain berhak menCERAI SMS madunya?. Itulah yang penting sesiapa yang menerima Cerai SMS mesti memastikan betulkah mesej itu dari suaminya kalau bukan maka tidak sah penceraiannya"