Make your own free website on Tripod.com

 

Isu Dalam Negeri

 

Isu Dalam Negeri

Ubah definisi Jihad

Artikel kami bekenaan definisi jihad

Ubah terjemahan jihad

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Terjemahan perkataan jihad yang membawa maksud `berjuang' dalam tafsiran al-Quran perlu diubah bagi mengelakkan Islam terus dilabel sebagai agama yang menyokong keganasan.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob berkata, perkataan jihad sepatutnya tidak hanya ditekankan kepada berjuang yang sering dikaitkan dengan keganasan dan peperangan.

Sebaliknya, menurut beliau, maksud sebenar perkataan jihad fi sabilillah ialah `berusaha ke jalan Allah' yang boleh diberi interpretasi secara meluas termasuk menambah ilmu serta membaiki akhlak.

Katanya, antara tafsiran al-Quran yang memberi makna jihad sebagai berjuang ialah yang diterjemahkan oleh ulama Yusof Ali serta tafsiran Al-Quran versi Indonesia.

``Berjuang dalam bahasa Arab ialah `Katala' yang diambil daripada perkataan `Kital'.

``Oleh itu, bila menterjemahkan perkataan jihad dalam tafsiran Al-Quran perlu disertakan dengan nota kaki yang menjelaskan maksud perkataan tersebut dalam perspektif yang lebih luas,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Islam dan Keamanan pada Persidangan Keamanan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menurut Abdul Monir, contoh paling besar mengenai konsep jihad yang disalahertikan terutama oleh media Barat apabila perkataan itu diterjemahkan secara langsung sebagai `perang suci' (holy war).

Beliau memberitahu, `perang suci' bukanlah terjemahan kepada perkataan jihad, sebaliknya perkataan tersebut bermula semasa Perang Salib yang mana ia menghuraikan mengenai penentangan Kristian terhadap negara Islam.

``Sejak kejadian 11 September, perkataan jihad digunakan secara berterusan untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam sekali gus menggambarkan agama Islam dari sudut yang negatif,'' ujarnya


Pandangan IKIN berkenaan dengan definisi Jihad sebenar

 

JIHAD

 

Jihad dari segi Haqiqah Lughawiyah, ‘Urfiyyah dan Syar’iyyah

 

1)Haqiqah Lughawiyah – Makna Bahasa

Jihad berasal dari kata jâhada, yujâhidu, jihâd. Kata akar JAHADA mempunyai terlalu banyak maksud di dalam bahasa Arab seperti: mencurahkan tenaga supaya menjadi sempurna, seorang pelajar yang rajin belajar, mencapai tujuan atau mewujudkan, bekerja untuk mencapai tujuan, menjadi letih, menyoalsiasat, menegaskan, dibebani, menjadi lemah kerana sakit, seseorang yang bekerja keras, sakit cinta, bercampur, bangkit, berkehendak, makan dengan banyak, jujur, bekerja keras, berhati-hati, menggunakan kesemuanya dan berjuang tanpa rehat.

Atau dengan kata lain, jihad boleh diertikan sebagai saling mencurahkan usaha (Dr Muhammad Khair Haykal, Al-Jihâd wa al-Qitâl fi as-Siyâsah as-Syari’yyah, jld 1/38). Lebih jauh lagi, Imam an-Naysaburi, dalam kitab tafsirnya, menjelaskan makna jihad iaitu, mencurahkan seluruh tenaga untuk memperolehi maksud tertentu (Dr Muhammad Khair Haykal, op. cit. jld 1/40).  Berdasarkan makna bahasa ini, jihad merupakan kemampuan yang dikerah semaksima mungkin, adakalanya berupa perbuatan fizikal, dengan senjata atau tanpa senjata, adakalanya dengan menggunakan harta benda dan kata-kata untuk meraih tujuan tertentu.

 

2)Haqiqah ‘Urfiyyah – Makna Adat

Penggunaan lafaz jihad bagi para sahabat hanya membawa satu makna sahaja iaitu berperang. Mereka tidak memahami dengan makna lain selain berperang. Salah satu riwayat adalah mengenai jawapan Abu Musa al-Asy’ari ketika berada di masjid:

        “Wahai Abdullah bin Qays, beliau disebut dengan nama aslinya. (Lelaki itu berkata); ‘Bagaimana pandangan kamu jika aku mengambil pedangku, kemudian aku pergunakan untuk berperang semata kerana Allah, kemudian aku terbunuh dan aku dalam keadaan seperti, di mana kedudukanku?’ Beliau (Abu Musa) menjawab: ‘Di syurga…’

Ternyata perkataan jihad pada awal Islam tidak pernah terkeluar dari kerangka utama perang sama ada bererti al-qital, al-ghawz, al-harb mahupun yang lain.

 

3)Haqiqah Syar’iyyah Makna Syara’

Pengertian lafaz jihad telah dinukilkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dengan makna yang lebih khusus: mencurahkan seluruh tenaga untuk berperang di jalan Allah, sama ada secara langsung mahupun dengan cara membantu dengan mengeluarkan harta benda, memberikan pendapat, atau memperbanyak bekalan, atau lain-lain dalam rangka meninggikan kalimat Allah. Penggunaan perkataan jihad dalam ayat Madaniyyah mencapai sehingga 26 perkataan. Kesemuanya memberikan gambaran yang jelas bahawa maksud jihad adalah perang menentang orang-orang kafir dan keutamaan untuk keluar  berperang berbanding berdiam diri sahaja terhadap aktiviti berkenaan.

 

“Tidaklah sama antara orang-orang beriman, yang tinggal duduk (di rumah) bukan kerana keuzuran, dengan orang-orang yang berjuang di jalan Allah, dengan harta dan dirinya. Allah melebihkan darjat orang-orang yang berjuang dengan hartanya dan dirinya dari orang-orang yang tinggal duduk. Kepada tiap-tiapnya, Allah menjanjikan kebaikan tetapi Allah memberikan pahala yang berlipatganda kepada orang-orang yang berjuang lebih daripada orang-orang yang duduk.”

(TMQ An-Nisa’, 4:95)

“Berangkatlah, ketika ringan atau berat, dan berjuanglah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Itu paling baik untuk kamu sekiranya kamu tahu.”

(TMQ At-Taubah, 9:41)

“Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya, mereka berjuang dengan harta dan dirinya, itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan. Dan itulah orang-orang yang beruntung.”

(TMQ At-Taubah,  9:88)

“Kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjuang di jalan Allah(kebaikan) dengan harta dan dirimu. Itulah yang lebih baik untuk kamu, sekiranya kamu mengetahui.”

(TMQ As-Saf, 61:11)

Selain itu, terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang di dalamnya terkandung perkataan jihad dengan makna “berperang menentang orang kafir di jalan Allah”. Antaranya seperti hadis riwayat al-Bukhari dari Abu Hurairah:

 

           “Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami perbuatan yang boleh menandingi jihad di jalan Allah?’ Baginda bersabda: ‘Kamu tidak akan mampu melakukannya.’ Baginda bersabda: ‘Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang berpuasa, yang sentiasa bangun (di tengah malam) dan patuh kepada ayat-ayat Allah, yang tidak berhenti berpuasa, sedekah sehinggalah orang yang berjihad tersebut kembali ke tengah keluarganya.’

 

Selain dari dalil-dalil syarak tersebut, para fuqaha juga bersetuju bahawa perkataan jihad bererti “mengerahkan seluruh kekuatan untuk berperang di jalan Allah.” Menurut Fiqh Hanafi, Imam Kasani di dalam bukunya Bada’ Sama mendefinisikan jihad sebagai: “….menggunakan semaksima usaha dan tenaga berperang di jalan Allah dengan diri, harta, lidah atau dengan perkara lain…..” Menurut Fiqh Maliki pula, Imam Ibn Arafa, dari Sheikh Khalil dalam Mukhtasar Al-Khalil, berkata jihad adalah: “….seorang Muslim berperang menentang orang kafir yang tidak ada sebarang perjanjian, di jalan Allah untuk meninggikan nama-Nya……”. Di dalam Fiqh Shafie pula, Imam Shirazi dalam Al-Muhazab Fil Fiqh Al-Shaafi berkata bahawa jihad adalah: “…menentang orang kafir di jalan Allah dengan diri atau harta atau lidah atau dengan melatih orang lain….”(boleh merujuk juga Kitab Al-Minhaj oleh Imam Nawawi). Manakala menurut Fiqh Hanbali, Imam Ibn Qudama Al-Maqdisi berkata jihad ialah: “…..memulakan peperangan dengan orang kafir sama ada sebagai fardu kifayah atau fardu ain atau melindungi orang-orang beriman daripada orang kafir atau menjaga sempadan atau perbatasan dan berperang di barisan hadapan …..”.

                      Jihad menurut ulama-ulama usul pula adalah “…..berperang dengan orang kafir untuk memberi kemenangan kepada Islam sebagai satu tujuan dan bercita-cita menjadikan kalimat Allah swt yang tertinggi……” (Imam Al-Qastalani, Imam Mawardi, Imam Al-Taftazani dan Imam Jirjani). Oleh itu, ulama-ulama usul juga bersetuju dengan maksud jihad yang sama iaitu berperang di jalan Allah memerangi orang kafir.

 

Sekalipun kata jihad menurut bahasa mempunyai makna mencurahkan segenap tenaga, kerja keras dan sebagainya, tetapi syariat Islam menggunakan kata tersebut demgam maksud berperang di jalan Allah. Penggunaan kata jihad dalam pengertian berperang di jalan Allah lebih tepat digunakan berbanding dengan makna bahasa. Hal ini sesuai dengan kaidah yang sering digunakan oleh ahli usul fiqh: makna syarak lebih utama berbanding makna bahasa mahupun makna adat (‘Atha ibn Khalil, Taysir al-wushul ila al-Ushul, hlm. 296). Kalaupun dilihat secara teliti jihad dari makna syara’ dan adat tidak bercanggah definisinya.

Jihad dari segi Jami’ dan Mani’

Dalam Islam, setiap istilah mempunyai jami’ (merangkumi semua aspek yang dihuraikan) dan mani’ (mencegah semua aspek yang tidak termasuk dalam huraian). Definisi jihad adalah: mengerahkan segenap tenaga untuk memerangi orang kafir sama ada secara langsung mahupun dengan membantu harta benda, pendapat atau memperbanyak bekalan dalam rangka meninggikan kalimat Allah.” Perkataan “mengerahkan segenap tenaga” , meliputi sifat bersungguh-sungguh dalam semua perkara tetapi jami’ telah mengkhususkan hanya dalam aspek “memerangi orang kafir.” Maka selain dari aktiviti berperang seperti menuntut ilmu, usaha untuk meningkatkan ekonomi dan membasmi buta huruf tidak termasuk dalam rangka jihad fi sabilillah. Begitu juga sekiranya yang diperangi adalah orang Islam seperti perang saudara yang berlaku di Oman tidak dikira sebagai jihad malahan haram dilakukan.

Adapun kata: “samada secara langsung mahupun dengan cara membantu harta benda, pendapat atau memperbanyak bekalan” meliputi orang yang pergi berperang secara langsung dan secara tidak langsung seperti orang yang menyumbangkan idea, harta benda atau bekalan perang. Maka orang yang pergi berperang di jalan Allah mendapat pahala jihad, begitu juga orang yang tinggal di belakang tetapi telah menyumbangkan ideanya atau harta bendanya atau memperbanyakkan bekalan perang, mendapat pahala yang sama, cuma orang yang pergi berperang berpeluang mendapatkan mati syahid!

Manakala kata: “dalam rangka meninggikan kalimat Allah” mengkhususkan orang yang betul-betul ikhlas pergi berperang kerana Allah atau orang yang betul-betul ikhlas menyumbangkan ideanya atau harta benda atau bekalan perang. Sekiranya orang yang pergi berperang itu bercita-cita untuk mendapatkan ghanimah/rampasan perang, maka dia tidak dikira sedang berjihad. Begitu juga dengan yang pergi berperang kerana tanah tersebut adalah tempat tumpah darahnya (wataniah), maka orang itu juga tidak dikira sedang berjihad. Walau bagaimanapun, perkara yang terakhir ini hanya Allah yang Maha Mengetahui, kita tidak dapat menentukannya kerana kita hanya boleh berhukum secara perbuatan zahir sahaja, manakala perkara tentang niat keikhlasan seseorang itu adalah perbuatan hati yang hanya diketahui secara tepat oleh Allah SWT.

Oleh itu setelah diteliti secara mendalam dari segi mani’ dan jami’ maka kita mendapati maksud jihad tidak boleh ditafsirkan selain daripada berperang di jalan Allah dalam rangka meninggikan kalimat Allah.

 

 

Beberapa penafsiran Jihad yang salah.

 

Jihad versus  “Melawan Nafsu"

Berdasarkan perbahasan di atas, adalah tidak ada kaitannya perkataan jihad dengan tafsiran sesetengah pihak dengan “melawan hawa nafsu”. Tafsiran ini telah terpesong dengan pengertian jihad yang sebenar iaitu “berperang di jalan Allah untuk menentang golongan kuffar dalam rangka meninggikan kalimat Allah”. Tafsiran ini diambil berdasarkan hadis berikut:

“Kita telah kembali dari jihad yang lebih kecil kepada jihad yang lebih besar.” Mereka para sahabat bertanya: “Apakah jihad yang lebih besar itu?” Jawab baginda: “Jihad melawan hawa nafsu.”

Hadis ini, menurut al-Iraqi, di dalamnya terdapat sanad yang daif. Ibn Hajar al-Asqalani pula mengatakan bahawa ini bukan sabda Nabi (bukan Hadis) melainkan kata-kata Ibrahim bin Ablah (Ala’ ad-Din, Kanz al-‘ummal, Muassasah ar-RisalahJuz IV, hlm. 616).

Berdasarkan analisa al-Iraqi, hadis berkenaan adalah daif. Sekiranya hadis berkenaan tetap digunakan maka ia tidak dapat dijadikan hujah untuk membina suatu pandangan. Tambahan pula, mengikut keterangan Ibn Hajar al-Asqalani, kenyataan tersebut bukannya datang dari Nabi(Hadis Maudu’ – hadis palsu), maka ia tidak mempunyai apa-apa nilai untuk dijadikan hujah

Akan tetapi, sekiranya kenyataan di atas tetap digunakan, dan andaikan ia merupakan hadis sahih, maka lafaz al-jihad al-asghar (jihad yang lebih kecil) masih lagi bermakna “perang”. Ini kerana kata-kata Rasulullah ditujukan kepada kaum muslimin yang baru pulang dari berperang. Mereka faham bahawa dengan jihad al-asghar iaitu berperang di jalan Allah tetapi mereka tidak faham dengan apa yang dimaksudkan dengan jihad al-akhbar. Ini kerana Rasulullah menggunakan perkataan jihad tersebut secara kiasan (majazi) yang menyebabkan para sahabat memerlukan penjelasan dari Rasulullah. Oleh yang demikian, mafhum yang didapati dari hadis daif ini bahawa makna jihad yang lebih kecil adalah “berperang di jalan Allah” merupakan makna syarak sedangkan jihad yang lebih besar adalah makna kiasan berdasarkan makna bahasa iaitu “melawan hawa nafsu”.

Dalam perspektif penggunaan bahasa, penggunaan lafaz menunjukkan suatu makna. Kaedah bahasa yang sangat popular:

 

At-tabadur amarah al-haqiqah

(Pengertian yang terlintas didalam fikiran orang Arab tulin merupakan makna yang sebenar.)

 

Dari kaedah ini, makna asal perkataan jihad adalah “mencurahkan tenaga”, “berkerja keras” dan sebagainya tetapi perkataan ini telah digunakan oleh syarak untuk  “berperang di jalan Allah”, maksud yang terakhir ini telah menjadi lebih dominan dalam percakapan dan minda umat Islam. “Berperang di jalan Allah”lah yang menjadi maksud sebenar perkataan jihad. Dalam konteks ini, penggunaan secara bahasa sudah terbatal, kalah dengan kebiasaan yang telah diterima oleh umat Islam.

 

Jihad versus Terrorism

Mungkin yang tergambar di fikiran orang awam adalah jihad sama dengan perbuatan terrorism atau keganasan seperti yang digambarkan oleh barat. Ini merupakan tanggapan yang salah sama sekali.

Jihad adalah bertujuan untuk menghancurkan kekuatan politik yang bersifat fizikal yang menghalang bangsa-bangsa dan umat-umat di dunia ini daripada hidup aman di bawah sistem pemerintahan Islam dengan memberikan kebebasan kepada setiap individu untuk menganut akidah yang dinyakininya, menghilangkan kekufuran dari muka bumi ini, menyebarkan Islam sehingga keagungan, ketinggian dan kemuliaan Islam akan nampak sepertimana yang dinyatakan dalam surah al-baqarah ayat 193:

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi ‘fitnah’ (kekufuran), dan (kemenangan) agama ini hanyalah milik Allah.”

(TMQ al-Baqarah, 2:193)

 Jihad merupakan alternatif yang terakhir sekiranya sesebuah negara itu tidak mahu tunduk kepada sistem Islam dan tidak mahu membayar jizyah seperti mana tertera di dalam surah at-Taubah ayat 29:

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, hari kiamat, serta tidak mengharamkan apa yang diharamkan apa sahaja yang telah diharamkan oleh Allahswt dan Rasul-Nya, dan tidak mahu memeluk agama yang haq iaitu orang-orang yang telah diberi Al-Kitab sehingga mereka memberikan ‘jizyah’ mengikut kemampuan dan mereka tunduk.”

(TMQ al-Taubah, 10:29)

Inilah cara bagaimana jihad dilaksanakan seperti yang terangkum dalam hadis dari Sulaiman bin Buraidah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

 

Khatimah

Seterusnya, Islam sangat menghormati nyawa sehingga dalam jihad hanya dibenarkan membunuh orang yang terlibat dalam perang. Haram membunuh orang tua, wanita dan kanak-kanak. Islam juga menghargai harta benda sehingga diharamkan memotong pokok, merobohkan rumah atau merosak tanaman dan sebagainya. Islam juga menghormati tawanan perang sehingga boleh ditebus, dibebaskan atau dibunuh. Dalam kes terakhir, Rasulullah pernah memerintah untuk membunuh dua orang tawanan perang Badar disebabkan jenayah mereka terhadap kaum muslimin pada masa sebelumnya. Islam juga memerintahkan untuk mengobati tawanan perang secara adil sehingga kaum musyrik yang terluka dalam Perang Badar telah dirawat oleh kaum muslimin, manakala yang terkorban dari kalangan mereka telah dikuburkan bersama para syahid.

Jihad dalam Islam juga tidak bertujuan untuk menjajah. Penduduk tempatan yang telah ditakluk oleh islam tetap mempunyai kebebasan bahkan mereka juga bebas untuk mengelola tanah-tanah mereka sepertimana yang berlaku ketika Umar al-Khattab menakluk Iraq. Jika wilayah berkenaan dalam kekurangan, maka negara akan memberikan bantuan. Setiap rakyat mendapat jaminan dari Negara baik berupa kesihatan, pendidikan, tempat tinggal dan sebagainya. Sebagai contoh, Andalusia/Sepanyol merupakan suatu lembah yang kontang sebelum kedatangan Islam. Setelah kedatangan Islam, Sepanyol telah menjadi satu negeri yang maju dan menjadi pusat untuk menimba ilmu yang termasyhur semasa pemerintahan khalifah Abbasiah.

 

Oleh itu, berdasarkan huraian-huraian singkat di atas, umat Islam sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengungkapkan kata-kata jihad. Hendaklah umat Islam ini berhati-hati dalam menghadapi ajakan dan seruan-seruan yang salah dan digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka. Pengaburan makna jihad dengan cara mengalihkannya kepada makna yang lebih umum seperti membangunkan ekonomi, menuntut ilmu, mencari nafkah dan lain-lain yang dianggap sebagai aktiviti jihad merupakan satu usaha untuk menghilangkan makna jihad yang sebenarnya dalam bentuk al-qital, al-harb, al-ghazwu iaitu berperang di jalan Allah. Jangan sampai kita bermati-matian beranggapan apa yang kita usahakan selama ini akan membawa kita kepada mati syahid, rupa-rupanya hanya berkesudahan dengan mati yang sia-sia kerana pemahaman yang keliru. Lebih sedih lagi kita telah mengabaikan salah satu perintah yang wajib kita kaum muslimin lmelaksanakannya iaitu berperang (jihad fi sabilillah). Dan perang ini (jihad) hanya dapat dilaksanakan dengan berkesan jika wujudnya sebuah Daulah Khilafah dengan seorang Khalifah yang boleh memerintahkan keseluruhan umat Islam untuk berjihad.

 

Wallahuaklam bi sawab.