Make your own free website on Tripod.com

 

NEGARA-NEGARA UMAT ISLAM GAGAL MEMANFAATKAN PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU UNTUK KEPENTINGAN ISLAM

 

 

 

Peristiwa pengeboman bandar Riyadh, di Saudi dan bandar Casablanca, di Maghribi telah dimanipulasi oleh AS untuk meneruskan agendanya dan ini merupakan amaran kepada dunia Islam terhadap tindakan ancaman AS tersebut. Ini jelas apabila punca pengeboman dan maklumat lanjut mengenainya diselindungkan, lebih-lebih lagi tiada individu atau mana-mana kumpulan pun mengaku bertanggungjawab, tetapi AS dengan segera mempergunakan peluang ini untuk tujuan kepentingan peribadinya.  

Hanya dalam masa beberapa jam selepas peristiwa pengeboman tersebut, Setiasusaha AS Colin Powell, menuduh Al-Qaeda dan organisasi-organisasi yang berkaitannya bertanggungjawab. Powell juga menambah : “Terrorisme menyerang dimana-mana dan sesiapa sahaja. Ia adalah ancaman kepada seluruh dunia yang bertamadun ini”

President Bush dengan segera menyatakan perspektif AS terhadap isu tersebut dengan tanpa berselindung lagi mengancam akan membalas dendam. Katanya : “mereka akan tahu apa erti keadilan bagi rakyat Amerika”, seterusnya dia berkata “ Setiap kali tidak kira siapa menyerang tanahair atau rakyat kami, kami akan keluar memburu…”

Dengan tidak menganalisis sebab mengapa dirinya begitu dibenci dikalangan umat Islam dan yang lainnya, AS telah memutarbelit dan mengubah realiti untuk memenuhi agendanya sendiri. AS secara rasminya telah  menuduh kerajaan Saudi bersubahat dalam serangan bom tersebut dan menyalahkan Saudi atas kegagalan mengenal pasti kehadiran kumpulan anti-barat di dalam negaranya. AS menekan Saudi supaya menukar sistem pelajarannya agar umat Islam hanya menerima ajaran Islam yang sesuai dengan kehendak AS. Kumpulan khas yang terdiri daripada penyiasat FBI, polis dan perisik telah dihantar untuk mengintip dan mengganggu gerakan umat Islam dengan alasan membantu pihak berkuasa Saudi  atas permintaan mereka sendiri. 

Tindakan tersebut tidak menjadi suatu kejutan, memandangkan secara jelas AS menggunakan peristiwa 9/11 untuk meneruskan agenda dan objektif polisi luar negaranya tanpa bukti yang kukuh terhadap mereka yang disyaki. AS menggunakan peluang tersebut untuk menukar regim yang memerintah di Afghanistan dan menempatkan pangkalan-pangkalan tenteranya diserata negara kaum muslimin, tetapi pada masa yang sama mereka turut giat meningkatkan perbelanjaan pertahanan. Mereka telah mencipta suatu suasana ketakutan dikalangan umat Islam, dan ini memberikan lampu hijau kepada agen-agen mereka menumpaskan kaum muslimin yang ikhlas memperjuangkan Islam dengan alasan menentang keganasan.

Apa yang menyebabkan negara barat mampu memanfaatkan kejadian yang berlaku sebagai alat untuk mencapai matlamat dan agenda mereka adalah kerana mabda/ideologi, walaupun ia merupakan ideologi yang rosak dan batil. Ideologi kapitalis merupakan suatu kumpulan peraturan dan prinsip yang mampu melahirkan matlamat dan arah tuju sesuatu negara. Ideologi ini mampu menjadikan mereka melihat suatu peristiwa dan isu yang berlaku dari suatu sudut pandangan yang khas. Sebagai contoh, polisi luar negara kapitalis memandang negara-negara lain dalam bentuk penjajahan; samada penjajahan dari segi ekonomi, politik atau ketenteraan. Oleh itu, AS menggunakan kejadian yang berlaku sebagai satu jalan untuk menjajah dunia bagi kepentingannya, syarikat-syarikat korporat dan rakyat mereka.

Sebaliknya, suatu realiti yang amat menyedihkan dimana tidak ada suatu negara umat Islam pun yang menerapkan mabda/ideologi Islam secara keseluruhannya. Identiti dunia Islam kini adalah campuran secara rawak diantara undang-undang sekular dengan sedikit peraturan Islam dari segi ibadat. Oleh kerana tiada suatu titik panduan yang komprehensif, negara umat Islam berjalan tanpa arah tuju dengan ketiadaan visi untuk masyarakat dan umatnya.

Mereka yang tidak bermabda/berideologi bermakna mereka tidak mempunyai matlamat yang jelas, maka dengan itu mereka terus menerus gagal memanfaatkan kejadian yang berlaku untuk kepentingan Islam dan kaun muslimin. Contohnya kita ambil berbagai jenis ketidakadilan yang berlaku kebelakangan ini. Umat Islam di barat telah disoal-siasat dan ditahan hanya bersandarkan bukti yang lemah atau boleh dikatakan tanpa sebarang bukti. Mereka telah dibuang negeri atau dinafikan hak kemasukan mereka ke negara tersebut hanya berdasarkan jenis kaum. Manakala pihak media barat mendapat kebenaran untuk memburuk-burukkan Islam dan umat Islam. Malah perang terhadap Iraq tetap diteruskan tanpa sebarang bukti dan walaupun mendapat tentangan dari majoriti penduduk dunia samada muslim atau non-muslim. Tetapi sayang, tiada satu pun negara umat Islam yang menggunakankan kejadian-kejadian ini untuk mempertahankan atau meneruskan kepentingan Islam, dengan mempersoalkan tindakan barat yang seumpama talam dua muka, atau mencabar konsep kebebasan dan kemerdekaan barat. Sementara itu AS melihat kejadian serangan terhadap seorang rakyatnya seumpama serangan terhadap mereka secara keseluruhannya, sebaliknya negara umat Islam masih tidak berdaya walaupun seluruh umatnya menghadapi serangan atau ancaman.

Fakta juga menunjukkan dengan jelas bagi pihak barat, semua tuntutan mereka dipenuhi dengan mudah. Pakistan misalnya, ia membenarkan pihak barat yang angkuh itu menentukan samada negara tersebut patut mempunyai senjata nuklear atau tidak. Pakistan bertindak balas dengan membenarkan siasatan dari pihak asing untuk mensahkan simpanan senjata nuklearnya. Tetapi yang jelas tidak ada suatu negara barat pun yang akan mengaku kelemahan kerajaan mereka dengan begitu mudah sekali.

Jika umat Islam ingin mendakwa diri mereka mempunyai ideologi, dan menerima Islam sebagai asas dalam tindakkannya, maka kejadian-kejadian yang berlaku ini tidak akan merugikan umat Islam seperti sekarang. Sebagai contoh, peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah(SAW), sebelum berlakunya perang Badar. Pada bulan Rajab, suatu ekspidisi yang diketuai oleh Abdullah bin Jash(RA) telah dihantar dengan misi untuk mengumpulkan maklumat mengenai tentera Quraysh. Disebabkan oleh penangkapan 2 orang ahlinya, semua ahli ekspidisi telah sepakat untuk menyerang sekumpulan rombongan Quraysh. Hasilnya ahli rombongan tersebut telah dijadikan tawanan. Sedangkan berperang dalam bulan Rajab telah dianggap suatu larangan pada masa itu, orang-orang Quraysh dengan segera menggunakan kejadian ini sebagai alat propaganda mereka dan mewujudkan suatu pendapat umum menentang umat Islam di jazirah Arab dan sekelilingnya. Rasulullah (SAW) tidak menunjukkan reaksi menafikan atau defensif dengan meminta maaf atau mengakui itu adalah kesalahan terhadap kaum Quraysh. Walaupun umat Islam pada masa itu menghadapi tekanan yang begitu hebat dari kaum Quraysh, umat Islam dengan sabar menunggu turunnya wahyu sebelum menjelaskan insiden tersebut.

Allah (SWT) menjelaskan dalam firmanya :

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peparangan dalam bulan itu adalah dosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang islam) dari jalan Allah, dan perbuatan kufur kepadaNya dan perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah.” [Surah Al Baqarah : 217]

Ayat ini dengan jelas membersihkan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam dan ia disambut dengan kegembiraan di Madinah. Bukan itu sahaja ayat ini membalas semula propaganda dari kaum Quraysh terhadap tindakan mereka yang menyiksa, menghalang dan membunuh umat Islam kerana keimanan mereka adalah kesalahan yang lebih besar. Ini memberikan umat Islam semangat keberanian untuk menyebarkan Islam di pelusuk jazirah Arab.

Hanya mabda/ideologi Islam yang diterapkan menerusi Khilafah mampu memanfaatkan kejadian-kejadian yang berlaku untuk kepentingan umat Islam dan sebagai propaganda Islam. Ini adalah satu-satunya cara untuk menumpaskan barat dan pengaruhnya.

(lihat Rencana Kami berkenaan Propaganda)