|
Artikel Semasa
| |
| ||
Kandungan Sekilas Sejarah Mata Wang Malaysia Sekilas Sejarah Mata Wang Malaysia Perubahan Kecenderungan Ekonomi Dunia Cadangan Malaysia bagi Penggunaan Dinar Emas Proposal Malaysia dalam Tinjauan Syariat Keistimewaan Konsep Dinar dan Dirham Syarei Kesimpulan |
SERUAN
KEPADA DINAR EMAS, SERUAN KEPADA EKONOMI ISLAM? Muqaddimah
Penggunaan
dinar emas dalam urusan perdagangan antarabangsa oleh Malaysia, dijangka
bermula akhir tahun ini dengan Iran. Jika kaedah antara kedua negara ini
terbukti berjaya, ianya akan diperluaskan ke negara lain, terutama yang
mempunyai perjanjian pembayaran dua hala (BPA) dengan Kuala Lumpur.
Demikian kenyataan PM Mahathir, yang juga Menteri Kewangan kepada
pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Antarabangsa
bertajuk “Dinar Emas sebagai Mata Wang Antarabangsa Alternatif”
anjuran DPIM cawangan Kuala Lumpur di PWTC pada 1 Julai 2003. Beliau juga
berkata Malaysia bersedia mempromosikan kaedah ini kepada negara-negara
lain, bahkan kepada negara-negara bukan Islam. Walau bagaimana pun,
penggunaan wang seperti US Dollar, Euro, Yen dan lain-lain perlu
diteruskan (BH 2 Julai 2003). Langkah ini turut mendapat pujian dari pihak pembangkang. “Saya yakin dinar emas ada kelebihannya dibandingkan Dollar dan Euro kerana ia bergantung kepada sumber alam yang banyak di negara Islam. Ianya adalah langkah positif untuk membebaskan negara dari penjajahan ekonomi oleh Amerika Syarikat” kata Datuk Sri Abdul Hadi Awang, Pemangku Presiden PAS (BH 3 Julai 2003). Bagaimanakah
penggunaan emas dalam sejarah kewangan dunia? Benarkah ia merupakan
penyelesaian kepada krisis ekonomi? Apakah proposal Malaysia tentang
kaedah dinar emas serupa dengan konsep dinar syar’ie?
Pertanyaan-pertanyaan itulah yang akan dijawap oleh tulisan ini. Sekilas
Sejarah Mata Wang Malaysia
1899
Matawang kertas pertama diterbitkan oleh Kerajaan, disandarkan kepada
surat jaminan dan logam perak 1906
Kerajaan menyandarkan matawang kepada sterling (aloi mengandungi 92.5%
perak). Tiap 1 dolar selat setara dengan 2 sterling dan 4 dime, dan 60
dolar selat setara dengan 7 wang mas bernilai 20 syiling sterling setiap
satu. Dengan demikian tiap keping wang mas setara dengan 20 sterling.
Pemilik wang kertas boleh menukarkannya kepada Kerajaan dengan logam
sebanyak jumlah yang tertulis di muka depannya. 1954
Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaysia dan British Borneo menukar mata
wang kertas kepada dolar selat (logam) yang kemudiannya diganti dolar
Malaya. 1958
Ordinan Bank Negara Malaysia mengamalkan sandaran minimum 80.59% rizab
antarabangsa untuk pencetakan mata wang. 1967
Bank Negara Malaysia mengeluarkan wang Ringgit Malaysia menggantikan dolar.
1975
Wang RM baru dikuatkuasakan di bawah Akta Mata Wang Malaysia. Penggunaan
piawai emas dihapuskan. Nilai mata wang Malaysia ditentukan oleh
sekumpulan mata wang negara lain iaitu rakan perdagangan utama. 1998
Nilai mata wang ringgit ditambatkan kepada RM 3.8 untuk setiap 1 USD.
Sekilas
Sejarah Mata Wang Dunia 1879
Sistem kewangan dunia kembali kepada piawaian emas. 1914
penggunaan piawai emas dibatalkan kerana banyak negara yang terlibat dalam
Perang Dunia I mencetak mata wang lebih banyak dari simpanan emas yang
dimilikinya. 1933
FD Roosevelt dilantik menjadi presiden ketika AS mengalami Great
Depression, ia memperkenalkan beberapa langkah reformasi sosial dan
ekonomi. Ia membatalkan piawai emas dan mengarahkan untuk mencairkan
semula 500,000 keping wang emas bernilai USD 20 setiap satu. 1
Julai 1944 Perjanjian Bretton Woods di AS. Negara-negara sekutu bersepakat
untuk menstabilkan semula kadar tukaran setelah Perang Dunia II. Kerajaan
Amerika berjanji kepada rakyatnya dan orang luar bahawa Amerika akan
menukar wang kertas USD 35 dengan 1 auns emas. Perjanjian ini juga
menyepakati bahawa pencetakan mata wang sesebuah negara
berdasarkan rizab emas, dan dolar dijadikan sebagai piawai semua
mata wang dunia. 15
Ogos 1971 Presiden Richard Nixon mengumumkan bahawa Amerika Syarikat dan
sekutunya membatalkan perjanjian
Bretton Woods dengan mengamalkan mencetak lebih banyak wang bagi membiayai
ekonominya. Sistim kewangan dunia diubah, mata wang sesebuah negara
ditetapkan sebagai bahagian tertentu dari rizab mata wang asing yang
dimilikinya. Dunia mengamalkan fiat
money sahaja. Pemansuhan
nilai tara USD kepada emas inilah yang merupakan punca krisis dolar yang
meluas. Sejak saat inilah mana-mana negara mesti meminjam dan melangsaikan
pinjamannya hanya dalam USD, tentunya dengan kadar bunga tertentu,
misalnya IMF menetapkan antara 15-20%. Ini adalah perangkap negara maju
sehingga boleh terus mengeksploitasi negara miskin. Penggunaan wang fiat
diperkenalkan oleh negara kolonialis untuk memanipulasi
pasaran wang dunia dan menjadi alat penjajahan. Fakta bahawa
negara-negara ini masih mempunyai simpanan emas yang banyak tetapi
berpakat untuk tidak menjual atau memajakkan emasnya semakin memperkuat
persangkaan kita bahawa wang fiat adalah alat penjajahan. Ada maklumat
bahawa mulai Jun 2001 Rusia telah mencetak wang emas sebagai legal
tender, ia juga telah mula menjual dolar dan menimbun simpanan emasnya.
Perubahan
Kecenderungan Ekonomi Dunia
Pada
tahun 1999, dalam sebuah pertemuan cabang dalam siri pertemuan tahunan IMF
dengan Bank Dunia di Washington, 5 butir kesepakatan kunci telah dicapai.
Sebanyak 15 Bank Pusat Eropa menyatakan penerimaan mereka terhadap
penggunaan emas. Resolusi yang dibacakan oleh Wim Duisenberg, Presiden
Bank Pusat Eropa itu menyebutkan : 1)
Emas tetap merupakan unsur penting dalam simpanan kewangan dunia 2)
Institusi-institusi di atas tidak akan menjual emas, kecuali untuk
perniagaan yang telah dipersetujui 3)
Penjualan emas yang telah dipersetujui akan diatur bahawa penjualan
tahunannya tidak melebihi 400 tan sehingga dalam 5 tahun dibatasi
berjumlah 2000 tan. 4)
Pihak-pihak yang telah menandatangani perjanjian ini tidak akan
memperluaskan pemajakan emasnya selama jangka masa perjanjian 5)
Perjanjian ini akan ditinjau ulang setelah 5 tahun. Walau
pun perjanjian ini dibuat oleh negara-negara Eropa, namun prosesnya
melibatkan para gabernor Bank-Bank Pusat negara-negara G10 yang mengadakan
pertemuan bulanan di Basle, Switzerland. Jepun dan US yang merupakan
anggota G10 menyokong perjanjian ini. Pada bulan Mei 1999, US telah
mengumumkan bahawa negaranya dan juga IMF tidak akan menjual atau
memajakkan emasnya. Pada 27 September 1999 Jepun mengumumkan bahawa
negaranya tidak akan menjual ataupun memajakkan emasnya. Perjanjian
ini meliputi hampir 50% simpanan emas dunia yang rasmi, kerana 15 negara
yang menandatanganinya mempunyai simpanan emas gabungan sebanyak 16,000
tan, sedangkan rizab emas dunia secara rasmi adalah 33,500 tan. Selain itu
dijangkakan pada tahun 2005 UK dan Sweden mempersiapkan diri untuk
bergabung bersama Euro, sehingga simpanan emas
kedua-dua negara turut dikawal oleh European Central Bank (Kcom
Journal 9 Mac 2002). Dalam
pertemuan tahunan Islamic Development Bank (IDB) ke 27 di Burkina Faso
pada 22-23 Oktober 2002 Malaysia mengemukakan harapannya agar
negara-negara OIC dan rakan perniagaan lainnya menggunakan dinar emas
untuk merangsang perekonomian masing-masing. Praktik ini akan melindungi
dari ketidakstabilan yang diakibatkan oleh penggunaan dolar Amerika (Bernama
21 Oktober 2002). Pada
hari yang sama di Kuala Lumpur diadakan seminar “Dinar Emas dalam
Perniagaan Multilateral”, yang merupakan kelanjutan dari seminar yang
diadakan di Malaysia pada bulan Ogos 2002, dengan tema “Sistem Kewangan
Dunia yang Stabil dan Adil”. Kedua-dua forum melibatkan negara-negara
anggota OIC (Executive
Intelligence Review).
Sememangnya
terjadi perubahan ketara pada
dolar Amerika, nilainya terus susut sejak 2001. Ini menyebabkan ia semakin
terdedah kepada jualan, sehingga defisit perdagangan Amerika mencapai USD
1.25 bilion sehari. Ini akan mendorong Federal Reserve untuk mencetak
lebih banyak lagi wang yang justeru akan semakin menurunkan nilai dolar.
Sehingga 31 Mac 2003, Bank Pusat Asia (yang turut dianggotai oleh Jepun,
China, Singapura) memegang bon berharga lebih dari USD 1 trilion. Jika
mereka bertindak balas dengan menarik dolar, tentunya nilai dolar akan
semakin menurun (BH 18 Julai 2003).
Amerika
Syarikat sendiri yang dahulunya merupakan negara pemberi pinjaman,
sekarang ini termasuk dalam negara yang berhutang besar, sejajar dengan
Argentina dan Venezuela. Laporan terakhir mengatakan bahawa defisit
belanjawan Amerika tahun ini adalah USD 455 bn, dan dijangkakan jumlah ini
menggelembung menjadi USD 475 bn untuk tahun hadapan (BBC News 15 Julai
2003). Nilai perdagangan dunia saat ini hanyalah USD 4 trilion/tahun,
sedangkan jumlah mata wang dolar yang beredar di pasaran adalah USD 80
trilion/tahun. Ini menunjukkan betapa rendahnya nilai dolar. Dijangkakan
ia akan semakin menyusut sehingga akhirnya collapsed
dan berlaku keadaan yang lebih teruk daripada krisis Wall Street tahun
1929 (Vadillo,1998). Dengan demikian tidaklah menghairankan apabila para
pelabur sekarang mencari instrumen pelaburan yang lebih nyata, iaitu emas.
Nilai intrinsik (kuasa beli) yang dimilikinya akan melindungi dari
perubahan ekonomi sekitaran, sehingga membebaskan pelabur dari putar belit
rejim kewangan. Ini kerana wang fiat hanya mempunyai nilai yang didasarkan
pada kepercayaan.
Cadangan
Malaysia bagi Penggunaan Dinar Emas
Dalam
penyampaiannya pada seminar bulan Oktober 2002, Dr Mahathir menegaskan
bahawa proposal Malaysia ini bukan bermaksud menegakkan piawaian emas di
dunia, melainkan hanya kembali kepada perjanjian Bretton Woods yang
dibatalkan pada tahun 1971 (Executive Intelligence Review). “Saya fikir
tidak akan ada bantahan, ini kerana dinar emas adalah sama dengan piawai
emas yang digunakan dalam perjanjian Bretton Woods” katanya (BH 2 Julai
2003).
Dalam
seminar bulan Ogos 2002, Tan Sri Muhamed Yakcop, salah seorang penasihat
ekonomi Mahathir menjelaskan kaedah berkenaan, dengan mengambil contoh
perdagangan antara Malaysia dan Arab Saudi : Pengekspot Malaysia akan
dibayar dalam RM oleh Bank Negara pada tarikh berlakunya ekspot. Pengimpot
Malaysia juga membayar Bank Negara dalam RM seharga nilai impotnya. Bank
Pusat Arab Saudi juga melakukan hal yang sama terhadap ekspot dan impotnya.
Misalnya setelah 3 bulan, ekspot keseluruhan dari Malaysia ke Arab Saudi
bernilai 2 juta dinar, dan ekspot keseluruhan dari Arab Saudi ke Malaysia
bernilai 1.8 juta dinar. Dengan demikian untuk 3 bulan itu Bank Pusat Arab
Saudi akan membayar sebesar 0.2 juta dinar kepada Bank Negara Malaysia.
Pembayarannya dilakukan dengan cara Kerajaan Arab Saudi mentransfer 0.2
juta auns emas dari akaunnya pada Bank of England kepada akaun Bank Negara
Malaysia pada Bank penjaganya yang sama. Proposal Malaysia dalam Tinjauan Syariat
Keistimewaan Konsep
Dinar dan Dirham Syarei
Benarkah
jumlah emas yang ada sekarang ini boleh menjamin keperluan wang dan serta
aktiviti perekonomian ? Abdul Qadim Zallum (Sistem Kewangan di Negara
Khilafah, 1983) menyatakan bahawa emas yang ada di dunia saat ini memang
memadai, dengan alasan : 1.
Emas yang digali sepanjang sejarah umat manusia boleh terus digunakan
hingga ke hari ini. Manusia tidak pernah melupuskan emas, sebaliknya dapat
menggunakannya untuk pertukaran atau mengubahnya menjadi bentuk yang lain.
2.
Sehingga abad ke-19 emas terbukti cukup untuk memenuhi keperluan aktiviti
perdagangan manusia tanpa menimbulkan masalah ekonomi. Walaupun sepanjang
abad ke-19 terjadi pertumbuhan ekonomi yang sangat tinggi, dengan kenaikan
upah dan gaji, namun tidak terjadi peningkatan keperluan terhadap emas. 3.
Yang menjadi sumber kekhuatiran orang ramai bukanlah jumlah wang,
melainkan kuasa belinya. Kuasa beli emas mampu melahirkan kestabilan dan
kesejahteraan. Sedangkan penambahan wang hampa menimbulkan inflasi. 4.
Sistem ekonomi yang bebas dari hambatan (misalnya kawalan harga, monopoli)
boleh terwujud tanpa bergantung kepada jumlah wang yang tersedia. Berapa
pun jumlah wang, akan tetap memadai untuk membeli barang dan perkhidmatan.
Jika barang dan perkhidmatan bertambah, wang dapat digunakan untuk membeli
barang dan perkhidmatan secara maksima (kuasa belinya naik). Sedangkan
jika jumlah barang dan perkhidmatan berkurang, kuasa beli wang sedikit
berkurang, tetapi tidak akan menghalang dari membeli barang atau
perkhidmatan. 5.
Fenomena yang nampak, iaitu kekurangan emas, sebenarnya muncul akibat
inflasi yang berterusan. Apabila dunia kembali kepada sistem emas, niscaya
kestabilan kewangan terwujud semula sehingga jumlah emas yang diperlukan
untuk spekulasi perdagangan akan berkurangan. Bagaimanakah
langkah-langkah untuk mendaulatkan dinar dan dirham ? Abdul Qadim Zallum
mencadangkan langkah-langkah (1983) : 1.
Menghentikan pencetakan wang kertas. 2.
Menggunakan semula wang emas dalam pelbagai akad muamalah. 3.
Menghapus sekatan terhadap ekspot dan impot emas. 4.
Menghapus sekatan dalam memperolehi, memiliki, menjual dan membeli emas. 5.
Menghapus sekatan untuk memiliki berbagai mata wang dunia serta
mengusahakan agar wujud persaingan bebas di antara mata wang tadi.
Diharapkan mata wang-mata wang itu akhirnya mencapai nilai yang tetap
terhadap emas, tanpa ada campur tangan negara untuk mengawal nilainya. Kesimpulan
1.
Keinginan untuk kembali kepada penggunaan emas merupakan kecenderungan
ekonomi dunia, Malaysia bukanlah pelopor inisiatif ini. 2.
Cadangan penggunaan dinar emas oleh Malaysia tidak sepenuhnya bertujuan
untuk mendaulatkan dinar dan dirham syari’ie. Seruan ini berkemungkinan
besar didorong oleh: ·
Desakan ekonomi, kerana krisis ekonomi di peringkat antarabangsa yang juga
menjejaskan ekonomi dalaman. Misal Petronas rugi USD 159 juta kerana
penyusutan nilai dolar. Pasaran Saham Kuala Lumpur kehilangan USD 200 bn
sejak kejatuhannya sehingga devaluasi. Krisis ekonomi 1997-1998
menyebabkan kadar tukaran ringgit kepada dolar turun dari 2.5 menjadi 4.8,
atau dengan kata lain nilai ringgit terhadap dolar menjadi separoh dari
sebelumnya. ·
Nasionalisma, keinginan mempertahankan taraf ekonomi bagi tujuan
mendapatkan penghargaan sama ada dari negara-negara Islam lainnya, mahupun
dari negara-negara bukan Islam. Ini cukup penting bagi menjaga kedaulatan
dalam percaturan politik dunia serta kestabilan politik serta untuk
mengekalkan gaya hidup yang telah dinikmati. ·
Meraih sokongan rakyat termasuk parti-parti Islam untuk berganding bahu
menyelesaikan agenda “terpenting” ini iaitu kecemerlangan ekonomi dan
kejayaan material. 3.
Sesungguhnya keupayaan sesebuah negara seperti Malaysia untuk mengamalkan
ekonomi Islam sangat terbatas. Namun apabila umat Islam bersatu di bawah
naungan Khilafah, dengan menghimpunkan seluruh kekayaan emas, perak (dan
logam lain jika perlu), serta bersatu pemikiran untuk menghadapi makar
musuh-musuh Islam, Insya Allah matlamat ini akan tercapai. Dengan demikian
agenda terpenting umat Islam bukanlah mengembalikan sistim dinar dan
dirham, tetapi mengamalkan kefahaman Islam dan mempersatukan wilayah Islam
dalam entiti Khilafah. |