Isu Dalam Negeri
| |||||
| |||||
Cerai SMS Kenyataan Dari Akhbar Pendapat Imam Nawawi Analisis Kami |
ISU CERAI SMS Pada
24 April lalu warga kota dikejutkan dengan isu cerai SMS, iaitu lafaz
cerai atau taklik dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi telefon
bimbit. Ianya hanya sebuah pesanan ringkas tapi membawa natijah yang baru
dalam kehidupan berumahtangga. Isu ini menjadi semakin hangat apabila
adanya campurtangan dari Dato Seri Dr Mahathir Muhamad dan juga menteri
Pembangunan wanita, Dato’ Shahrizat Haji Jalil. Isu ini sebenarnya
tidaklah sekronik mana, tetapi medialah yang memainkan peranan mewarwarkan
seolah-olah isu ini merupakan isu penting untuk didiskuskan di kedai-kedai
kopi, tak kira di kafe berinternet atau kedai kopi Pak Ali. Kebanyakan
tukang cerita-ceriti ini berbicara hingga melangkaui batas hukum syarak. Bermula
alkisah, apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini
mengesah dan mensabitkan perceraian satu pasangan suami isteri yang
dilafazkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pada April lalu. SMS yang
dihantar oleh Shamsudin Latif kepada bekas isterinya, Azida Fazlina Abdul
Latif tertera: ``Kalau engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau,
jatuh talak tiga''. Pada masa lafaz itu dihantar pada pukul 10.04 pagi
18 April lalu, Azida berada di rumah keluarganya dan dia hanya membacanya
pada pukul 8 malam apabila telefon bimbitnya dipasang. Hakim Syarie
Mohamad Fauzi Ismail semasa membuat keputusan berkata, lafaz taklik cerai
itu sah dan sabit serta gugur talak tiga terhadap Azida.
(Utusan Malaysia, Muka Depan 25.8.2003)Pada prosiding 9 Julai lalu,
Azida yang bertindak sebagai plaintif memberitahu mahkamah bahawa dia
pasti SMS itu dihantar oleh suaminya (ketika itu). Shamsudin yang
dinamakan sebagai defendan ketika ditanya oleh mahkamah, memperakukan
keterangan yang diberikan oleh Azida.(UM 25.8.2003) Berasakan
sumber berita lebih kurang dari surat khabar ini maka lahirlah berbagai
spekulasi berkenaan dengan Cerai SMS ada yang PRO dan KONTRA. Ada yang
melampau-lampau membangkang cerai SMS dan merasakan seolah-olah ia
penghinaan kepada Wanita, tidak terkecuali Dato’ Seri Dr Mahathir
Mohamad, Dato’ Seri Shahrizat Hj Jalil, Sisters in Islam, beberapa
pertubuhan NGO wanita yang kurang dikenali. Isu hukum syarak tidak
ditonjolkan berkenaan dengan cerai SMS, yang ditonjolkan ialah isu
‘menghina wanita’, mereka bersikap anti-kepada Keputusan Mahkamah
Syariah itu. Ada satu tulisan menarik dari sebuah rencana dalam Utusan
Malaysia yang betul-betul mempertikaikan tidakan Hakim Syarei. Seolah-olah
Hakim Syarei tersebut tidak teliti, yang amat menggelikan hati, rencana
tersebut cuba mengajar pihak tertentu bagaimana untuk mengesahkan SMS itu
ditulis oleh suaminya dan sebagainya. Tidak
kurang juga yang betul-betul mempermainkan isu ini, ada yang membuat
andaian kalau seseorang itu poligami, tiba-tiba isteri pertama cemburu
hantar SMS meceraikan isteri kedua dengan talak tiga sekali gus, habislah
sang suami. Itulah beberapa kedangkalan pihak yang kononnya mereka
berfikiran kritis tetapi sebenarnya masih dangkal dalam mengkaji idea ini
secara menyeluruh, bahkan mereka mungkin tidak merujukpun kepada written
decision, mungkin mereka ini hanya merujuk kepada laporan Akhbar dan
Media massa yang agak terhad laporannya dan mengarah kepada memenagkan
pendapat pihak tertentu.
Sila
lihat pandangan Imam Nawawi berkenaan dengan isu cerai bertulis ini ========================================================== Kemudian
bermulalah isu mempertikaikan kewibawaan Hakim Syarei Mahkamah Gombak
Timur bermula apabila Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan
Masyarakat akan meminta Jabatan Agama Islam memberi penjelasan lanjut
mengenai kedudukan perceraian melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang
disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.Menterinya, Datuk Dr.
Siti Zaharah Sulaiman berkata, beliau ingin mengetahui kedudukan sebenar
mengenai fatwa atau perkara-perkara yang membolehkan perceraian dengan
cara itu disahkan. (Berita Dalam Negeri UM 26.7.2003) Ujar belaiu “``Saya
ingin mendapatkan maklumat mengenai perkara tersebut dan tidak akan
mengeluarkan kenyataan mengenainya, sehingga mendapat penjelasan
sepenuhnya,''``Soal yang menjadi pokok sekarang ialah institusi
kekeluargaan yang harus sentiasa dilindungi dari menghadapi masalah
perpecahan.``Perpecahan boleh mengakibatkan beberapa masalah lain. Jangan
tambah masalah,'' katanya. Kata beliau, ahli keluarga mesti
bertanggungjawab terhadap keluarga masing-masing dan tidak boleh
membiarkan masalah itu diselesaikan secara berasingan atau mengambil
pendekatan sambil lewa.Beliau menambah, jika menghadapi masalah dalam
keluarga, perkara itu perlu dirujuk kepada pihak tertentu yang mahir. Para
mufti dan ahli agama berpendapat walaupun lafaz perceraian melalui alat
telekomunikasi moden termasuk e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS)
dibolehkan dalam Islam tetapi ia tidak digalakkan bagi mengelakkan
kekeliruan. Mereka turut meminta umat Islam supaya menggunakan kaedah
lebih terhormat apabila melafazkan cerai terhadap isteri kerana agama
Islam sendiri membenci perceraian. Mufti Kedah, Datuk Syeikh Hasbullah
Abdul Halim berkata, Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada
menggunakan kemudahan teknologi semasa termasuk dalam berkomunikasi dengan
seseorang. ``Bukan
sahaja SMS, kalau guna Internet juga boleh kerana yang penting ialah
maklumat itu mesti sampai kepada si isteri,''
katanya kepada Utusan Malaysia. Beliau juga menambah ``Lafaz
melalui SMS dinamakan sebagai lafaz kinayah (tidak terus terang) sementara
lafaz ucap (bersemuka) pula dipanggil sebagai lafaz soreh (terus terang”.
Jelas beliau, perbezaan antara kedua-dua lafaz tersebut ialah lafaz
talak kinayah hanya sah jika diikuti dengan niat manakala lafaz talak
soreh cukup menerusi kata-kata sahaja. (Dalam Negeri UM 26.7.2003) Pengerusi
Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata,
penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian adalah perkara baik tetapi
ia tidak harus disalahgunakan terutama bagi perkara yang membabitkan hukum
agama.``Jangan gunakan sewenang-wenangnya e-mel, Internet atau SMS
walaupun latar belakang mereka yang menghantar pesanan boleh disiasat
untuk mengesahkannya,'' katanya. Menurut beliau, meskipun menyampaikan
sesuatu seperti talak melalui SMS perlu disahkan oleh mahkamah, ia
dibimbangi akan menimbulkan masalah lain. (UM 26.7.2003) Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad
berkata, kemajuan teknologi tidak sepatutnya disalah guna termasuk
bercerai melalui SMS telefon bimbit.Beliau yang kesal dengan kejadian
menimpa sepasang suami isteri terbabit berkata, walaupun dibolehkan oleh
syarak namun ia tidak sepatutnya diamalkan. ``Saya
tidak sokong benda ini. Sepatutnya kalau hendak bercerai kena bersemuka
bukan SMS,Mereka (pasangan terbabit) gunakan teknologi ini untuk bersemuka
atau berbual, dan dari situ mungkin timbul perasaan kasihan dan tidak jadi
bercerai. Inilah kemajuan dalam bidang telekomunikasi,''
katanya. (Muka depan UM 30.7.2003) Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad
berkata mesyuarat mingguan Kabinet hari ini berpandangan bahawa perceraian
pasangan Islam tidak sepatutnya dilakukan dengan lafaz cerai melalui
perkhidmatan pesanan ringkas (SMS). "Kabinet memutuskan yang
sementara mereka mungkin betul daripada sudut lain, ia bukan cara untuk
bercerai," katanya semasa mengulas mengenai keputusan Kabinet
terhadap perkara itu. (Muka Depan UM 31.7.2003) ORANG
KG.SABAK. al_sabaki@yahoo.com.
Dalam Ruangan Forum UM 30.7.2003; Yang
secara ringkas tidak setuju dengan dakwaan penceraian melalui SMS
adalah sesuatu hal menghina wantina, dengan berhujahkan bahawa lelaki
yang menggunakan sms perlu menfailkan kesnya ke Mahkamah , ini menunjukkan
bahawa wanita diberi hak. Dengan sinis beliau menyelar orang mengatakan
cerai sms bersifat jalanan, dalam masa yang sama mengiktiraf cinta jalanan
dengan sms. Dato’
Sharizat Abdul Jalil
``Kementerian saya tidak bersetuju dengan budaya tersebut. Ia merupakan
satu penghinaan kepada wanita dan membawa imej yang negatif kepada
Islam.Kita mintalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid
Zainal Abidin mengambil kira perkembangan terbaru ini agar SMS tidak
menjadi alat untuk wanita diceraikan.'' (Muka depan UM 30.7.2003)
Awang Selamat (UM30.7) setuju 100% dengan Dato’ Sharizat, si awang ini setuju talak jatuh tapi inginkan kerajaan membuat peraturan mencegah cerrai SMS Manakala dalam tajuk Pinda Undang-undang Keluarga Islam jika lemah (Muka depan UM 31.7) Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga akan mengesyorkan supaya Undang-undang Keluarga Islam dipinda jika terbukti wujud kelemahan sehingga membolehkan lafaz cerai melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dibuat sewenang-wenangnya. Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Kabinet memandang berat perkara itu dan sependapat dengan kementerian bahawa perceraian melalui cara tersebut tidak selaras dengan semangat Syariah. Tegasnya, ia tidak harus dilihat sebagai penghinaan ke atas wanita sahaja, sebaliknya boleh mencemarkan imej agama suci itu dan menjatuhkan maruah lelaki Islam di negara ini. ``Kita
akan syor pinda undang-undang kalau jelas dan nyata ada kelonggaran di
dalamnya yang menyebabkan perceraian melalui SMS berlaku di negara ini. ``Bukan
setakat menerusi SMS bahkan melalui e-mel pun kerana dianggap telah
menyalahgunakan teknologi yang ada,'' katanya pada sidang akhbar
selepas mesyuarat pasca Kabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.
Kabinet hari ini membincangkan isu lafaz cerai melalui SMS ekoran timbul
kontroversi sama ada cara itu beradab atau tidak dan apakah ia satu
penghinaan kepada wanita serta kesannya kepada imej Islam. (Forum
UM 31.7.2003 Pro and kontra cerai SMS) SAYANG
ISTERI, Bayan Lepas, roslany2k@yahoo.com
memberi komen
cerai sms bukannya menghina wanita tapi menghina lelaki bahkan menganggap
lelaki itu bacul, pada pendapat beliau cerai sms, e-mail dsbnya sepatutnya
untuk kes pasangan yang jauh jaraknya. JURUTERA
TELEKOMMUNIKASI – berkomentar
cerai sms tak salah, Cuma kadi mesti peka dengan situasi, contoh yang
diberikan kes Mahkamah Gombak Timur sepatutnya taklik itu bersyarat masa,
bila dan jelas. FATIN-03,
Batu Caves, Kuala Lumpur
– memberi komen penulisan Orang Sabak (30.7.2003) adalah berunsurkan
kegoan, beliau berkomentar lagi penceraian sms tidak beradab kerana semasa
berkahwin sanggup menghabiskan duit yang banyak dan semasa cerai main sms,
RM0.30. Belaiu memberi komentar pendapat Hakim Syarei tiu tidak jelas
hanya berasaskan kenyataan sms yang pendek. SULAIMAN
M IBRAHIM, Ipoh. Mengulas
isu penceraian sms oleh Kadi Mahkamah Gombak Timur sebagai high
watermark , beliau meminta kita melihat kes Aida Melly yang disahkan
jatuh talaknya. UM
kelaur tajuk Cerai SMS -
Lelaki tidak gentleman (Keluarga UM 4.08.2003) Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin
berkata bahawa Lafaz cerai melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) tidak sah
sehingga diperakukan oleh Mahkamah Syariah di negara ini. Menurut beliau,
jika seseorang suami menghantar SMS menyatakan cerai kepada isteri, talak
tidak jatuh kerana ia tertakluk kepada hukum bahawa mengikut undang-undang
Islam di negara ini ia perlu dibawa ke mahkamah untuk disahkan. ``Situasi
itu dianggap sebagai cuba untuk bercerai dan ia tidak sah sehingga
diperakukan oleh Mahkamah Syariah mengikut Undang-Undang Keluarga Islam
1984,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat pasca-Kabinet
di pejabatnya di sini hari ini sebagai mengulas mengenai senario baru
perceraian menggunakan SMS. Abdul Hamid menjelaskan, merujuk kepada lafaz
cerai melalui SMS yang dihantar oleh Shamsudin Latif kepada bekas
isterinya, Azida Fazlina Abdul Latif pada 18 April lalu dan disabitkan
oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 24 Julai lepas, beliau
berkata: ``Lafaz
cerai itu tidak sah dan mereka masih suami isteri yang sah dalam tempoh
mula SMS itu dihantar sehingga mahkamah sahkan perceraian itu (pada 24
Julai lalu)''. Katanya
lagi, talak yang dilafaz oleh suami termasuk menggunakan e-mel, faksimile
dan surat juga dikategorikan sebagai `cuba' melakukan perceraian di
luar mahkamah atau tanpa kebenaran dan ia bertentangan dengan
undang-undang Islam di negara ini. Menurutnya,
undang-undang itu diwujudkan mengikut kaedah fiqah iaitu sesuatu
tindakan imam (pemimpin) ke atas rakyat bergantung kepada kepentingan umum. ``Ia
adalah untuk memastikan si suami tidak melafazkan talak dengan sesuka hati
yang boleh menganiaya isteri. Oleh itu, mengikut Seksyen 124 undang-undang
berkenaan, sesuatu perceraian di luar mahkamah atau tanpa kebenaran
mahkamah akan dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi
enam bulan atau kedua-duanya sekali.Jadi,
jika suami cuba melakukan perceraian menggunakan SMS, maka tidak jatuh
talak. Bukan SMS yang `berkuasa' menceraikan pasangan suami isteri tetapi
mahkamah,'' katanya. Abdul
Hamid berkata, undang-undang keluarga Islam di negara ini tidak
membenarkan suami melafazkan talak dengan sesuka hati bertujuan untuk
memelihara kehormatan kaum wanita. Selain itu ujarnya, ia bagi memastikan
proses perceraian berlaku dalam suasana harmoni, sekalipun ia dibenarkan
oleh Islam. ``Oleh
yang demikian, Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ditugaskan mengkaji semula peraturan
berkaitan. ``Mungkin
denda boleh dinaikkan kepada penjara tiga tahun atau denda sebanyak
RM5,000, ini semua akan dirujuk semula,''
ujarnya. (Muka depan UM 31.07.2003) Mohd
Shauki Abdul Majid, Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
(Rencana UM 2.8.2003)Melafaz talak melalui SMS tidak seharusnya berlaku
kerana ikatan perkahwinan dalam Islam jauh dari sikap emosional. Seorang
Muslim sejati seharusnya memiliki kesopanan, budi, kesabaran dan kekuatan
diri dalam menangani persoalan ini. Seseorang itu mungkin tidak menyukai
sesuatu dan cuba untuk menjauhinya padahal dari segi kenyataannya ia
mengandungi banyak kebaikan dan rahmat. Bergaullah
dengan isteri kamu menurut yang sepatutnya. Kalau kamu benci kepada mereka
(hendaklah kamu bersabar), kerana boleh jadi kamu benci pada sesuatu
sedang Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya. (Surah an-Nisa
ayat 19) Peraturan
yang membabitkan perceraian di luar mahkamah mungkin diperketatkan
termasuklah cadangan memperkenalkan hukuman penjara mandatori kepada suami
yang melafazkan cerai melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telefon bimbit.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh
Ghazali Abdul Rahman berkata, ini disebabkan hukuman yang ada sekarang
gagal menghalang perkara tersebut walaupun ia sebenarnya sudah cukup tegas.
``Bagaimanapun,
walau setegas mana undang-undang sekalipun ia bukanlah satu jaminan bahawa
masalah berkenaan dapat diatasi kerana yang paling penting adalah
kesedaran di dalam diri para suami.`Suami hendaklah ingat bahawa mereka
mesti menggunakan cara yang lebih beradab dan bertanggungjawab walaupun
lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah, ia tetap jatuh dari segi
syarak,'' katanya
ketika dihubungi di sini hari ini. (Muka depan UM 3.08.2003) Majlis
Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) berpendapat cadangan memperkenalkan
hukuman penjara mandatori ke atas suami yang melafazkan cerai melalui
Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telefon bimbit mampu mengatasi masalah
perceraian melalui SMS daripada berleluasa.Yang Dipertua NCWO, Profesor
Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, hukuman
berkenaan akan menjadikan golongan suami lebih berhati-hati dan membendung
perbuatan melafazkan cerai dengan sewenang-wenangnya melalui perkhidmatan
SMS. ``Hukuman penjara adalah lebih berat dan serius berbanding dengan
hukuman mengenakan denda. ``Oleh itu saya percaya hukuman penjara
mandatori adalah berkesan'', katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia
di sini hari ini.Pengerusi Perkhidmatan Hotline MCA, Tai Sim Yew
dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, masalah lafaz cerai melalui
SMS harus dibendung demi memelihara kesucian dan kehormatan institusi
kekeluargaan dan perkahwinan. ``Selain
itu perbuatan tersebut juga adalah satu bentuk diskriminasi, prejudis dan
penghinaan kepada maruah dan martabat kaum wanita di negara ini,''
tambah beliau. (Muka
Depan UM 4.8.2003). Isu
ini benar-benar mengajak pelbagai pihak terdiri daripada orang ramai,
ulama dan terutamanya golongan wanita melihat perkembangan kurang sihat
ini. Kebanyakan mereka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap cara talak
itu `dilafazkan'. Bahkan,
lafaz cerai melalui SMS disifatkan sebagai menghina kaum isteri selain
dilihat sebagai diskriminasi terhadap wanita. Pertubuhan Sisters In Islam
(SIS) melalui Pegawai Penyelidiknya, Nik Noriani Nik Badlishah berkata,
lafaz cerai menerusi SMS menunjukkan si suami tidak mempunyai adab ihsan
di dalam diri. ``SIS
begitu terkejut kerana Majlis Agama Islam membenarkan perkara tersebut
tanpa adanya tatatertib atau ihsan di dalam perkara tersebut. Seorang
pekerja pun tidak boleh dibuang kerja melalui SMS, inikan pula perceraian
yang merupakan satu pekara besar yang melibatkan rumah tangga,''
katanya. Katanya,
walaupun perceraian memang merupakan hak suami tetapi selalunya pihak
isterilah yang akan menanggung segala proses perundangan dan sebagainya. ``Proses
perceraian selalunya akan berakhir dalam jangka masa yang lama dan menelan
kos yang mahal,''
katanya. SIS katanya, tidak menduga Majlis Agama Islam sudah bersedia
untuk menggunakan alatan moden bagi tujuan lafaz cerai yang sudah tentu
memberi banyak kelebihan kepada pihak suami. Dalam
pada itu, Exco Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Faridah Khalid
berkata, perceraian menerusi SMS merupakan satu penghinaan kepada
institusi perkahwinan itu sendiri. Tambahan pula katanya, implikasi
terhadap isteri dan keluarga adalah besar akibat perceraian dengan cara
demikian. ``Kita
tidak tahu sama ada SMS tersebut dilakukan dengan tujuan penganiayaan oleh
pihak yang sakit hati
dengan pasangan tersebut. ``Ini
sudah tentu akan menghuruharakan sesebuah rumah tangga,''
katanya. Baginya, ikatan perkahwinan adalah sesuatu yang suci, namun
dilihat untuk meleraikannya sebagai paling mudah dan terlalu singkat. ``Untuk
bercerai bukanlah satu yang mudah. Suami perlu mempertimbangkan banyak
perkara sebelum membuat perisytiharan perceraian ke atas isterinya. Bukan
hanya setakat menggunakan SMS sahaja,''
katanya. Sementara
itu Pengerusi Wanita Ikram, Maryam Abdul berkata, perceraian menggunakan
SMS adalah terlalu mudah, terutamanya bagi suami yang sudah `hilang
pertimbangan'. Katanya,
jangan salah menggunakan teknologi canggih untuk membuat sesuatu yang
boleh menjatuhkan makhluk Tuhan yang lain. ``Jika
perlu bercerai, pergi ke mahkamah untuk kemukakan perceraian. Adalah tidak
adil dan satu diskriminasi terhadap wanita sekiranya saluran ini tetap
digunakan,''
katanya. Katanya, SMS tidak boleh dijadikan satu medium untuk perceraian
dan kaum lelaki perlu dididik mengenai hal itu. Presiden
Pekerja Wanita Malaysia (Perwanis), Silam Hassan berkata, sekiranya
perkara itu menjadi amalan, beliau khuatir lafaz cerai menerusi SMS akan
menjadi satu polisi Undang-Undang Keluarga Islam pada masa akan datang.
Jika ini berlaku katanya, ia merupakan satu penganiayaan, penghinaan dan
diskriminasi terhadap golongan isteri dan wanita. ``Banyak
kes yang melibatkan tuntutan perceraian daripada isteri akan mengambil
masa berbulan-bulan malahan bertahun sedangkan suami dengan hanya satu
petikan butang boleh melafazkan perceraian,''
katanya. Beliau yang turut sedih dengan fenomena tersebut berkata, suami
yang bertanggungjawab sepatutnya menghargai isteri mereka dan tidak
melakukan perkara sewenang-wenangnya apabila sudah tidak suka. Perceraian
menggunakan SMS katanya, akan merendahkan kedudukan wanita, perkara ini
akan mengakibatkan imej agama Islam dipandang negatif. ``Kalau
sesuatu perceraian perlu dilakukan, ia hendaklah dilakukan dengan penuh
berhemah dan beradab. Wanita mempunyai maruah yang tinggi. Bukannya
apabila dihargai diambil, bila dibenci, dibuang begitu sahaja bagai sampah
tidak berguna,''
katanya. (
Keluarga UM 3.8.2003 Jangan hina isteri) Pengakuan
dari ibu beranak satu Harniza: Suami
saya beranggapan cerai itu (kami) tidak sah (apabila kabinet turut
membincangkan kes perceraian SMS pasangan di Gombak). Saya harap isu ini
diperjelaskan supaya kaum lelaki yang mungkin gila talak tidak
mempermainkan soal penceraian ini,'' katanya. Harniza cuma mahu menuntut
nafkah untuk anak lelakinya, tetapi suaminya berdolak-dalik dan mahu
Harniza bercakap dengan peguamnya. Harniza berharap kesnya ini mendapat
bantuan terutama pandangan di kalangan ulama. ``SMS
ini sama seperti lelaki yang mudah menceraikan isteri. Short and Easy
but no responsibility (ringkas dan mudah, tetapi tidak
bertanggungjawab,'' katanya (Dalam Negeri UM 5.8.2003) KUALA LUMPUR 5 Ogos
- Kaum wanita di negara ini yang pernah diceraikan suami melalui Khidmat
Pesanan Ringkas (SMS) boleh membuat pengaduan kepada Unit Kaunseling
Jabatan Pembangunan Wanita dan Keluarga di Kementerian tersebut untuk
diselesaikan. (UM 6.8.2003) Komentar
Salleh Buang (Rencana UM 6.08.2003) Merujuk
kepada kes yang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur minggu
lalu itu, saya kira laporan akhbar tempatan ada sedikit mengelirukan (atau
kurang tepat), dan sebab itu ia telah disalah tafsir oleh sebahagian
masyarakat setempat. Tanggapan
yang timbul dari laporan akhbar mengenai kes itu ialah seolah-olahnya
suami telah melafazkan talak terhadap isterinya menerusi SMS. Andaian
seperti itu sebenarnya adalah tidak betul. Kalau kita baca dengan teliti
fakta kes itu, sebenarnya mesej ringkas yang dihantar secara elektronik
oleh lelaki itu kepada isterinya pada 18 April lalu itu adalah lafaz
taklik, bukan lafaz talak. Dalam
keterangannya di mahkamah, Azida Fazlina menyatakan bahawa dia ada
menerima dan membaca mesej itu yang berbunyi seperti berikut ``Kalau
engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga''. Suami
Azida pula, dalam keterangannya di mahkamah, mengakui bahawa dia ada
menghantar mesej itu kepada isterinya. Berlandaskan
peruntukan undang-undang berhubung keterangan, seperti yang terkandung
dalam Enakmen Keterangan Syariah yang sudah lama berkuat kuasa di mahkamah
syariah, apabila setiap pihak dalam sesuatu kes itu telah berikrar di
hadapan mahkamah semasa prosiding berjalan (iaitu mengakui apa yang
berlaku itu adalah perbuatannya dengan sengaja dan rela hati), maka
mahkamah tidak perlu melihat kepada keterangan-keterangan lain. Kes
akan hanya menjadi rumit sekiranya (sebagai misalan) si suami menafikan
ada menghantar SMS itu atau si isteri menafikan ada menerima dan
mengetahui kandungan SMS itu. Kesimpulannya
dalam kes yang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur itu,
disebabkan hakim bicara dalam kes itu telah mendengar ikrar kedua-dua
pihak (suami dan isteri) tentang penghantaran (oleh suami) dan penerimaan
(oleh isteri) lafaz taklik menerusi SMS itu, dan syarat atau perkara yang
disebutkan dalam taklik itu benar-benar telah berlaku, hakim bicara tidak
ada pilihan lain lalu mensabitkan perceraian telah berlaku. Dengan lain
perkataan, dalam kes Azida dan suaminya ini, ikatan perkahwinan mereka
bubar disebabkan mahkamah terima ikrar kedua-dua pihak sebagai bukti lalu
mengesahkan perceraian berlaku disebabkan lafaz taklik suami kepada
isterinya. Kes
itu bukan kes seorang suami menggugurkan (melafazkan) talak terhadap
isterinya menerusi SMS, lalu mahkamah terus memutuskan perceraian telah
berlaku tanpa usul periksa lagi.Saya harap tidak akan ada mana-mana pihak,
walau bagaimana baik sekalipun motif mereka, mempertikai atau mempersoal
keputusan Mahkamah Syariah Gombak Timur itu. Cerai
SMS di negara lain Berhubung
penggunaan SMS bagi lafaz cerai, Singapura pada Julai tahun lalu telah
meluluskan fatwa lafaz cerai seseorang suami kepada isterinya yang
dilakukan menerusi SMS telefon bimbit sebagai sah dan boleh dilakukan
menerusi perkhidmatan tersebut. Pendaftar
Mahkamah Syariah republik itu, Shaiffuddin Saruwan berkata, lafaz cerai
menerusi SMS adalah sama kesannya seperti lafaz cerai melalui sepucuk
surat. Bagaimanapun
suami berkenaan perlu hadir di Mahkamah Syariah untuk mengesahkan
perceraian tersebut. Menurut Shaiffuddin, mahkamah perlu meneliti setiap
kes cerai sebelum memberikan kata putus. ``Lafaz
cerai adalah memadai dengan dilakukan melalui SMS dan syarat bagi
membolehkan lafaz itu sah adalah pengirim SMS adalah suami, kenyataan
lafaz cerai itu adalah jelas dan semasa menghantar SMS, si suami berniat
menceraikan isterinya,''
katanya. Beliau ketika itu mengulas kenyataan Penasihat Unit Kaunseling
Kekeluargaan Mahkamah Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Abdel Salam
Mohammad sebagai berkata, lafaz perceraian boleh dibuat menerusi SMS.
(UM25.7.2003)
Apakah Hukum cerai pakai SMS, jawapannya sah Kalau ditanya "Kalau orang lain menulis SMS macam mana?, contoh kawan bergurau dengan SMS kepada isteri kita, nanti akan berlaku salah faham, nanti ianya akan berlaku kucar-kacir."
Jawapan kami, " Kita kena bezakan istilah cerai sms dengan cerai biasa, cerai sms kita kena pastikan bahawa si suami kita yang menulis, dan ditanya apakah dia berniat demikian? Isu kawan tulis sepatutnya tidak menjadi isu, kerana apa hak kawan kita nak menceraikan isteri kita? Bila pula Islam benarkan isteri kita dipoligami. Begitu juga dengan persoalan isteri kita yang lain menceraikan isteri yang lain dengan SMS itu merupakan isu yang sengaja ditokok tambah oleh pemimpin wanita yang berfahaman ala-muktazilah, yang menilai baik dan buruk pakai akal sahaja, adakah isteri kita yang lain berhak menCERAI SMS madunya?. Itulah yang penting sesiapa yang menerima Cerai SMS mesti memastikan betulkah mesej itu dari suaminya kalau bukan maka tidak sah penceraiannya"
|