Isu Dalam Negeri

 


Isu Dalam Negeri

Puteri UMNO

PAS

Kenyataan DMPP

Analisis Kami

Isu Liwat Yang Terlewat

Puteri UMNO mahu Pas pinda enakmen

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Pergerakan Puteri UMNO mahu fasal dalam Enakmen Jenayah Syariah Terengganu dan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dipinda dengan membuat penjelasan bahawa perbuatan meliwat isteri juga sebagai satu kesalahan.

Ketuanya, Azalina Othman Said berkata, berdasarkan bacaan pada fasal 14 dan 16 dalam enakmen berkenaan dengan jelas mengecualikan perbuatan suami meliwat isteri sebagai satu kesalahan.

``Mengikut bacaan dalam fasal itu, perbuatan liwat isteri tidak dianggap sebagai satu kesalahan dan ini seolah-olah (kerajaan) Pas menghalalkan perbuatan itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Zaid Ibrahim semalam bahawa fasal 14 dan 16 dalam Enakmen Jenayah Syariah Terengganu dan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan tidak menganggap perbuatan meliwat isteri sebagai satu kesalahan.

Bagaimanapun hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Datuk Harun Taib menolak dakwaan itu sambil menyatakan meliwat isteri tetap satu kesalahan dan mereka yang melakukannya boleh dikenakan hukum takzir.

Menurut Azalina, hujahnya untuk menolak fasal dalam enakmen itu adalah kuat kerana Kerajaan Pas sepatutnya menjelaskan bahawa perbuatan meliwat isteri juga juga sebagai satu kesalahan.

Jelasnya, Pas tidak boleh mengambil sikap lepas tangan walaupun menyatakan kesalahan meliwat isteri boleh dikenakan hukuman takzir atau yang lebih ringan daripada hudud.

``Jenayah liwat tidak ada pengecualian sekalipun bagi seorang suami tetapi dalam fasal itu seolah-olah liwat ke atas isteri dibolehkan.

``Kerajaan Terengganu dan Kelantan perlu menyediakan satu penjelasan dalam fasal itu bahawa meliwat isteri juga sebagai satu kesalahan,'' ujarnya.

Katanya, dalam undang-undang sivil, perbuatan liwat jelas diharamkan, tidak kira sama ada mempunyai hubungan suami isteri atau tidak. (Uusan Malaysia 30 Ogos 2003)


 

PAS, "Suami liwat isteri tetap salah"

KUALA TERENGGANU 28 Ogos - Pas hari ini menjelaskan bahawa perbuatan suami meliwat isteri tetap menjadi kesalahan dan pesalah akan dihukum mengikut hukum takzir walaupun terlepas daripada hukum hudud.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, hukum hudud tidak boleh dikenakan ke atas suami atas perbuatan tersebut.

``Ini kerana kesalahan yang dilakukan itu tidaklah boleh disamakan dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah,'' ujarnya.

Sehubungan itu beliau berkata, tidak timbul isu bahawa Pas menghalalkan yang haram seperti yang didakwa oleh pihak tertentu kerana liwat tetap menjadi satu kesalahan dan ia tidak boleh dilakukan oleh sesiapa.

``Saya juga mahu menjelaskan bahawa perbuatan suami meliwat isteri akan mewujudkan syubhah (kesamaran) kerana secara umumnya isteri adalah milik kepada suaminya. Ini adalah kaedah fiqh yang telah ditetapkan.

``Apabila wujudnya syubhah maka hukum hudud tidak boleh dilaksanakan sepertimaksud sebuah hadis Rasulullah `Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana syubhah','' katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Negeri Terengganu kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Harun mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Zaid Ibrahim berhubung isu itu.(UM 30 Ogos 2003)


Berikut adalah kenyataan penuh YB. Sen. Siti Zailah Mohd. Yusof :

Suatu yang amat malang apabila pemimpin UMNO Kelantan yang tandus dengan isu telah berani pula memainkan satu lagi irama baru berhubung dengan Perkara 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah ( II ) 1993 yang berkaitan dengan hukuman bagi kes liwat. 

DMPP melihat bahawa usaha ini tidak lebih daripada satu tindak balas desprado kepimpinan UMNO Kelantan dalam keghairahan untuk berkuasa semula di negeri Serambi Makkah tersebut. 

Setelah sekian lama iaitu hampir 1 dekad enakmen tersebut diperkenalkan kepada khalayak hanya kini Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan tersebut iaitu Zaid Ibrahim mula membangkitkan isu berkenaan. 

Ini jelas menunjukkan kepada kita betapa Zaid sebenarnya tidak ikhlas dan tidak "genuine" dalam memperjuangkan isu-isu yang disebut sebagai ketidakadilan kepada isteri itu.

Bahkan ianya tidak lebih daripada satu usaha murahan untuk mencari
helah dan mencari-cari kelemahan dalam kerajaan pimpinan PAS khususnya di Kelantan.

Pemimpin UMNO seperti Zaid adalah manusia yang tidak berminat dengan kebenaran dan ilmu tetapi lebih berminat dengan kuasa dan populariti meski sekalipun beliau terpaksa menjadi dalang dalam menimbulkan kekeliruan serta salah faham orang ramai terhadap peruntukan syariat Islam.

Adalah sangat perlu dan wajar melihat serta memahami apa jua peruntukan dalam satu-satu undang-undang atau peraturan tersebut secara keseluruhannya bukan setakat melihatnya secara seksyen demi seksyen atau perkara-perkara tertentu sahaja secara terpisah-pisah.

Perkara 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah ( II ) 1993 yang menjelaskan : " Liwat ialah sesuatu yang merupakan persetubuhan di antara lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain isterinya yang dilakukan di luar tabii atau melalui dubur." 

Adapun perkataan "selain isterinya" itu tidak pula bermakna bahawa Kerajaan PAS membenarkan seorang suami meliwat isterinya . Tetapi ianya lebih menjelaskan bahawa hukuman hudud tidak boleh digunakan ke atas si suami yang mempunyai ikatan perkahwinan yang sah dengan isterinya dalam kes tersebut atau dengan perkataan lain peruntukan hukuman ke atas suami yang meliwat isteri bukanlah hudud tetapi dalam peruntukan ta'zir .

Bermakna tindakan suami meliwat isteri TETAP MENJADI SATU KESALAHAN tetapi peruntukan hukuman bagi kesalahannya mengikut syariat Islam tidak di bawah Hudud tetapi pesalah akan dihukum mengikut hukum Ta'zir .

DMPP melihat bahawa pihak-pihak yang terbabit dalam menjajah isu ini jelas menampakkan kejahilan mereka yang sebenarnya tentang syariat Islam sebagai "the way of life".

Kedangkalan ilmu yang cukup jelas berkaitan dengan sumber dan prinsip dalam perundangan Islam serta langsung tidak dapat memahami kaedah-kedah usul fiqh yang disepakati dalam Islam.

Adalah amat malang apabila pemimpin politik dalam masyarakat apatah lagi kelompok yang mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam cuba pula bercakap berkaitan soal hukum atau syariat Islam tanpa terlebih dahulu memahami tasawwur Islam, asas-asas dalam Islam serta sumber dan prinsip-prinsip perundangan Islam.

Ibaratnya seorang akauntan yang bertindak mempertikaikan prosedur kerja yang diamalkan oleh seorang pakar bedah yang sedang berusaha membedah pesakitnya.

Sedangkan akauntan terbabit tidak pun tahu pisau mana yang patut digunakan pada masa-masa tertentu, keperluan-keperluan lain yang mesti ada semasa tempoh tersebut, sejarah pesakit yang sedang melalui proses pembedahan bahkan tidak juga mengetahui apakah sasaran yang cuba dicapai oleh pakar bedah tersebut. Bagaimana mungkin? 

DMPP mengajak semua pihak untuk menginsafi bahawa syariat Islam bukanlah sesuatu yang patut dijajah secara murahan dan bukan juga semata-mata persoalan logik akal atau boleh ditafsir secara bermudah-mudah.

Tetapi ianya berhubung dengan tatacara kehidupan manusia yang telah ditetapkan oleh Allah menerusi Al Quran dan kemudiannya dijelaskan secara terperinci lagi melalui sunnah Nabi SAW , Qias dan Ijma' para Ulama'.Justeru itu, persoalan ini tidak boleh diambil ringan dan dibangkit dengan hasrat untuk menunjukkan kelemahan syariat Islam dalam apa cara sekalipun.

Sepertimana contohnya tindakan tidak bertanggungjawab pemimpin UMNO Kelantan itu yang ternyata jahil lagi menjahilkan.

DMPP menyeru agar setiap persoalan berhubungkait dengan agama dan syariat mestilah dikembalikan kepada ahlinya ( yakni para cerdik pandai Islam/ ulama' ) dan dibincangkan dengan penuh adab kesopanan dan taqwa yang tinggi kepada Allah SWT.

Berhubung dengan dakwaan Ketua Puteri UMNO, Azalina Said bahawa kononnya kerajaan PAS mengambil sikap lepas tangan dan memperuntukkan hukuman yang lebih ringan iaitu Ta'zir kepada suami yang meliwat isteri ; DMPP memandang bahawa sikap yang ditunjukkan oleh Azalina itu sebagai orang Islam yang tidak faham Islam bahkan ibarat seorang kanak-kanak yang senantiasa mahu dia dapat lebih.

Hukuman bukanlah hak kerajaan PAS tetapi merupakan peruntukan yang telah ditetapkan menurut kaedah dan prinsip-prinsip perundangan dalam Islam. Apa yang penting pada masa sekarang ialah pendidikan dan penjelasan berkaitan kaedah dan prinsip-prinsip itu. Bagi orang seperti Azalina dan Zaid Ibrahim, DMPP merasakan bahawa mereka boleh berusaha untuk mengambil kursus Pengajian Islam yang menawarkan subjek-subjek berkenaan di mana-mana IPTA dalam negara bagi memastikan mereka benar-benar faham dan mempunyai ilmu sebelum secara bermudah-mudah menjadi juara menjajah kes rumahtangga muslim yang sebenarnya mempunyai tempat yang lebih sesuai untuk dimuzakarahkan bersesuaian dengan perkembangan-perkembangan masalah semasa baitul muslim (kekeluargaan Islam ) itu sendiri.

Di situlah neraca akhlaq dan ketinggian adab mahkluk yang bergelar manusia.

Akhirnya DMPP menyeru kepada semua wanita Islam di Malaysia agar tidak mudah diseret sama oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasikan tafsiran kepada peruntukan dalam Perkara 16 itu. 

Di samping mengingatkan kepada semua wanita Islam Malaysia agar jangan sampai berlaku akhirnya nanti wanita Islam di Malaysia pula bangkit memohon satu peruntukan undang-undang yang baru bagi kesalahan suami merogol isteri sepertimana yang telah digunapakai oleh masyarakat sekular Barat hanya kerana mereka menjadi seorang Islam yang tidak lagi memahami agamanya .

YB. Sen. Siti Zailah Mohd. Yusof 

Ketua Penerangan DMPP

29 Ogos 2003


 

Analisis dari IKIN

Mengikut Undang-unadang sekular benda yang tidak ada dalam peruntukan maka ianya bukan merupakan kesalahan. Dalam hal ini ialah kesilapan teknik dari pihak PAS tak dapat tidak mesti diakui seperti;

1) Tidak menerangkan dengan jelas bahawa hukuman "meliwat isteri " ialah takzir. Dan tidak ada clause - meliwat isteri itu satu kesalahan.

Kesalahan itu sendiri dinyatakan di luar dari Enakmen dan tidak tercatat dalam Enakmen. Kalau mengikut undang-undang sekarang bila peruntukan itu tidak ada maka ianya tidak boleh di dakwa di mahkamah

2) Kos 1/4 juta pada ahli perundangan untuk menyediakan "Rang Undang-Undang Hudud " ini nampaknya tak berbaloi kerana ada kelemahan yang tersembunyi yang tidak nampak.

3) Kalau ikut kitab fekah tampa ubah suaikan tentu isu ini tidak menjadi masalahkan, yang masalahnya beberapa bab dalam kitab fekah diabaikan termasuklah isu "Wati' Dubur Isteri" dipandang enteng. 

4) Dato 'Haron Taib sendiri nampak macam menggelabah sahaja antara ujar beliau  "mengikut kaedah fekah isteri milik kita" hukum itu "syubahat", tak kena hukum hudud.

Mungkin kita boleh bertanya kepada beliau apa maksud;

i) isteri kita milik kita - macam milik barangkah?

ii) Jadi kalau dia milik kita maka ada unsur syubahat, apa yang syubahatnya, kalau syubahat dari segi pemilikan maka siapa rakan kongsi satu lagi?

iii) Adakah hadis : Tolaklah hudud kerana syubahat sekadar membina kesimpulan dari 2 premis logik yang tak betul?

(sepatutnya sesuatu kenyataan berkenaan dengan hukum syarak itu diucapkan dengan berhati-hati)

 

Premis 1: Isteri milik Kita - jadi syubahat

Premis 2: Hadis " Tolak Hudud Kerana Syubahat"

Kesimpulan Hukum : Liwat isteri tak kena hudud kerana Syubahat.

Apakah kenyataan sebegini layak menjadi Hukum Syarak???

 

Kesalahan Umno; especially lawyer Zaid Ibrahim.

1)Cari raung untuk serang Islam, loyar buruk

2) Komen hudud PAS untuk menunjukkan kelemahan parti PAS, dan menang pilihanraya, sebenarny isu ini akan menjatuhkan kredibiliti UMNO bukannya PAS

3) Tidak pernah mahukan Hudud Islam ini jelas dalam surat khabar - Negara tetap Islam tanpa Hudud..

4) Berfikiran cara sekular dalam hal undang-undang, kalau tak ada dalam peruntukan maka itu tak dikira kesalahan....bagaimana peruntukan dari AlQuran dan Sunah?

 

Kesimpulan dan saranan

Gerakan sekular tak jemu-jemu untuk menyerang gerakan yang memperjuangkan Islam jadi mereka suka membesar-besarkan kesalahan yang dilakukan oleh gerakan Islam; dalam kes ini kita perlu bijaksana, jangan melatah. Apa yang dibuat oleh Dato' Harun Taib berkenaan syubahat (isteri milik kita?)itu adalah salah satu tindakan 'melatah' dan tidak ada rujukan dari syariat Islam.

 

Nampaknya gerakan Islam yang ada hari ini macam longgar sahaja menyediakan satu deraf hudud yang detail untuk mentadbir sebuah negara. Sedangkan menurut kajian kita, Buku Fekah yang ada membincangkan bab ini dah lengkap, cuma oleh kerana sikap PAS cuba menebuk dan meminda beberapa isu yang menampakkan Islam itu seolah-olah tak lengkap. Antara  kes Umur baligh PAS ialah 18 tahun.